Wednesday, August 11, 2021

Sajak: Kau Bintang

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.



Kau Bintang

Malam itu pudar
Awan-awan berarak perlahan
Seakan terhenti
Sambil menutupi sinar-sinar di baliknya
Buatkan langit hari itu terasa kosong
Kedinginan menyeliputi alam
Pekat malam menjadi kelam

Hidup ini misteri
Sehari kita boleh berada di atas puncak gunung
Namun esoknya kita boleh tenggelam di lautan dalam
Duka bahagia silih berganti
Ibarat putaran bumi
Kejap siang
Kejap malam
Begitulah
Kerana dunia itu bukannya syurga
Yang mana di sana adanya bahagia sentiasa

Di satu sudut adanya kau
Terduduk
Tertunduk
Sesak terasa
Seolah-olah bumi menghempap diri
Berat yang terasa
Hanya kau mengeerti
Untuk bangun itu luar biasa
Kegelapan membelenggu
Kelam suasana
Kerana tiada lagi dia yang bercahaya

Kau bintang sebenarnya
Yang cantik indah menyinari semesta
Hadirmu mampu membuat kanak-kanak kecil tersenyum
Dek melihat keindahanmu
Dan kau juga beri sinar cahaya
Buat mereka yang terkapai-kapai dalam gelapnya malam
Cantiknya dirimu disangka pada cahayamu yang bergemerlapan
Namun tidak
Bukan itu sebenarnya
Padaku, kecantikan hakikimu pada sifatmu
Yang sanggup berkorban membakar diri
Hanya demi mereka yang kau kasihi
Agar sinarmu terus memayungi

Kau bintang
Indah seindah sebutannya
Diri kau berharga
Sangat sangat berharga
Maka jangan biarkan apa sekalipun buat kau meraguinya

Seka air matamu
Dongakkanlah wajahmu
Kerana kau bintang
Dan kehadiran kau ditunggu seluruh semesta

Bangkitlah
Agar suasana malam yang pekat kelam itu bertukar menjadi ceria
Awan-awan berarak laju
Angin kebangkitan menolaknya jauh pergi
Dan perlahan-lahan
Hadirnya kembali sang bintang yang indah menyinari
Sungguh mempersona

Kau bintang
Tahu harga dirimu
Jangan biarkan pekat malam memudarkan cahayamu
Dirimu itu bersinar
Keindahanmu dinantikan semua
Kau sangat berharga
Dan pasti yang tahu nilaimu akan terus menghargainya

Bumi itu terus berputar
Dan berputar
Ada kalanya siang
Satu ketikanya malam
Tapi sentiasa ingat
Kau bintang!
Memberi bahagia dan ceria di setiap masa

Hey you, oh shining star
You are not born to fit in
But to stand out
So keep it fighting!

And when the time comes
Everything will make sense
The struggles
All the Pains
Then you will start to understand
And be rest assured
That His promises were true
Always
And His divine planning is indeed
The best

Teruskanlah menyinar sang bintang
Kerana memang sifat natural dirimu itu indah bercahaya
Tanpa kau perlu melakukan apa apa

Jangan biarkan awan malam mengaburi sinarmu
Tapi hembuskanlah angin kehidupan agar cahaya kau tetap dapat ditatapi manusia

Bangkitlah Sang bintang,
Kerana kau begitu berharga

MF
11 Ogos 2021
Kau bintang
♪ Standing in the eyes of the world 

Sunday, February 10, 2019

Takdir yang Tak Kau Sukai

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Takdir yang Tak Kau Sukai

Hakikat takdir itu
Kadang ia pahit
Kadang ia menyakitkan
Kadang ia sukar ditelan

Hidup yang tenang
Berubah, sekaligus jadi terumbang-ambing

Hidup yang senang
Tergoyah, tiba-tiba jadi kosong dan tak punya makna

Hidup yang bahagia
Jadi kelam, kegelapan muncul entah dari mana

Boleh jadi secara tiba-tiba
Yang kadang tak kau terjangka

Tetapi..
Tak semua yang menyembuhkan itu manis
Dan tak semua yang menguatkan itu indah
Dan juga tak semua yang memberi kebaikan itu kamu sukai

Bukankah Yang Esa itu sudah berfirman,

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu,
padahal ia amat baik bagimu.

Boleh jadi kamu menyukai sesuatu,
padahal ia amat buruk bagimu."

Dia lebih mengetahui
Apa yang baik dan buruk bagimu

Di tangan-Nya apa yang berlaku di masa sekarang dan masa hadapan
Dalam pengetahuan-Nya segala yang ghaib dan terlihat

Maka percayalah kepada-Nya,
Dan letakkan sepenuh tawakkalmu hanya pada Dia
Boleh?

Dia Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih
Dia Yang Maha Berkuasa lagi Maha Halus perancangannya
Dia Yang Bijaksana lagi Maha Mengetahui segalanya

Dialah Al-Wadud, Maha Mencintai
Dan Dia jugalah Al-Wahhab, Yang Maha Memberi

Maka yakinlah wahai hamba pada Dia semata

Dan suatu hari nanti. . .
Pasti kau akan nampak betapa indahnya percaturan Allah tentang kehidupanmu

Senyumlah :)

MF
10 Feb 2019
Allah mencintai hamba-hambaNya yang bertawakkal


Rujukan/Ilham:

1) Do'a yang diajarkan Nabi s.a.w. ketika ditimpa musibah atau kehilangan sesuatu berharga,

"Sesunggunya kami milik Allah dan sesunguhnya kami akan kembali pada-Nya.
Ya Allah aku hanya menghitung pahala musibah ini di sisi-Mu, maka berikanlah kepadaku pahala itu, dan gantikanlah aku dengan sesuatu yang lebih baik dari musibah ini.”

(HR. Abu Daud, hasan sahih)

Monday, October 16, 2017

Aku berhenti.

Aku berhenti, bergantung pada manusia.
Pergantungan aku kini hanya pada Allah.

Aku berhenti, berharap pada dunia.
Pengharapan aku kini terletak hanya pada Allah.

Aku berhenti, takjub pada sinar gemerlap dunia.
Ketakjuban aku kini pada Hari Pembalasan yang Kekal Abadi.

Boleh saja aku terus dan terus larut dengan fana dunia
Tapi aku tertanya,

Siapa yang aku cuba bohongi?

MF
16 Okt 2017

Monday, October 2, 2017

Dua Jalan Terbentang

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.


Dua Jalan Terbentang

Dua jalan terbentang

Yang satu indah di mata
Dipenuhi gilang cahaya dunia

Yang satu lagi tak enak dipandang
Penuh duri dan keji
Tiada siapa yang mengingini

Aku berdiri di persimpangan
Yang berduri atau yang cantik di pandangan mata
Mana satu harus ku pilih?

Satu persoalan perlu kepada satu persoalan lain
Yang mana lebih utama
Perjalanan atau destinasinya?

Jika indah dan kagum di mata
Tapi seksa dan azab di pengakhiran
Adakah berbaloi?

Perjalanan ini hanya sebentar saja. .
Itu yang aku sangka
Sedangkan matlamat akhir itulah yang menjadi destinasi abadi

Dua jalan terbentang
Dan yang buruk dan leceh di mata manusia
Itulah menjadi pilihanku

Walaupun aku masih bertatih
Jatuh bangun dan jatuh lagi
Jauh, terlalu jauuhh dari kesempurnaan
Tapi aku sangat bersyukur yang aku telah memilih jalan yang sukar ini

Terima kasih ya Allah
Atas kurniaan kesedaran ini

Moga satu hari nanti aku sampai ke destinasi yang  aku harapkan

Jannah.

MF
1 Okt 2017
Pandang hadapan dan jalan terus
Baru boleh sampai ke destinasi

Sunday, September 18, 2016

Kehidupan suatu perlumbaan?

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang



Dahulu,
Aku melihat dunia ini sebagai suatu perlumbaan
Perlumbaan siapa yang paling cepat mencapai 'kejayaan' dalam kehidupan

Namun aku alpa,
Kejayaan itu harusnya diukur dengan apa?
Pada materialkah? Berapa banyak rumah yang dimiliki? Atau berapa banyak RM di dalam akaun bank?
Atau mungkin pada kerjaya? Gahnya menjadi seorang jurutera, doktor atau menteri?

Benarkah itu tanda-tanda seseorang itu berjaya?

Dari kefahaman itulah, aku di sekolah dulu sering mengejar kejayaan akademik
Mahu sentiasa berada dalam kelompok pelajar-pelajar teratas
Dan ini berterusan hingga ke universiti
Walaupun aku sedikit larut dan tidak skor melangit
Aku genggam segulung ijazah dengan prestasi yang memuaskan
Habis belajar, terus mencari-cari kerja
Tak mahu ketinggalan dengan rakan-rakan
Tidak lama untuk aku mendapatkan pekerjaan pertama
Tempat kerja yang baik dan masa depanku kelihatan cerah!

Sesuatu menimpa
Yang membuatku terduduk dan hampir-hampir sahaja mengalah
Rupanya, pada pengalaman itu ada hikmah

Dewasa ini, aku mula mengerti
Kehidupan jauh sekali daripada suatu perlumbaan
Ini kerana setiap manusia diberikan laluan yang berbeza oleh Allah
Kita bermula pada titik yang berlainan
Halangan dan pusingan berbeza-beza
Jalan yang harus ditempuh pun tak serupa
Takdir dan ketentuan juga tidak sama
Maka bagaimana boleh kehidupan dipanggil suatu perlumbaan!?

Bahkan, setiap orang punya impian dan cita-cita yang berbeza
Nilai kejayaan pada mata seseorang itu, mungkin tak sama dengan kehendak dan impian seorang lagi
Manusia nilai erti kehidupan itu berlainan

Maka begitulah kehidupan

Tidak perlu untuk kau pandang rendah sesiapa saja yang kurang berjaya di matamu
Tidak perlu untuk kau merasa rendah diri pada orang yang kelihatan sudah berada jauh di hadapanmu
Jangan dibanding-banding kehidupanmu dengan kehidupan orang lain

Kerana
Allah kurniakan kau sesuatu perjalanan yang unik
Jalan kehidupan yang kau lalui takkan pernah sama dengan satu orang pun yang lain
Ujian-ujian dan halangan-halangan yang kau tempuh, adalah dari Allah khas buatmu
Dan Allah tahu kau mampu melaluinya
Jika tidak, ia tidak akan terjatuh pada laluan hidupmu

Genggam pesan ku erat
Apa yang penting kau harus lakukan yang terbaik
Di saat manapun ujian yang mendatang
Atau pada apa sahaja ranjau yang sedang kau tempuh
Kalaupun terjatuh
Jangan mudah lemah dan mengalah
Bangkit segera
Dan teruslah melangkah

Hidup ini singkat
Melalui ranjau-ranjau kehidupan, aku melihat kehidupan dengan lensa yang lebih jelas

Hidup ini bererti jika kita memberi
Pentas dunia ini tidak lain melainkan ujian
Buat kau, aku dan juga mereka

Seperti kata-kata Champ Ali
Apa yang kekal adalah apa yang kau buat untuk Tuhan

Kerana itu memberilah sebanyak-banyaknya kerana Dia
Saling menasihati kepada kebaikan
Serta saling menasihati kepada kesabaran
Agar kita semua dapat melalui ranjau dunia ini dengan berjayanya
Dan akhirnya bersama-sama menikmati kejayaan hakiki di syurga nanti!

InsyaAllah.
Itu impianku.

Hidup bukan suatu perlumbaan
Jika mahu berlumba, maka berlumbalah pada siapa yang lebih memberi.

MF
16|09|18

p/s: fuuhh.. dah lama sgt tak mengarang sajak ni. harap masih ada rupa sajak.. :P

Sunday, August 16, 2015

Mencari 'The Other Half'

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Kita hanya mampu berusaha, akhirnya ketentuan dan hikmah di tangan-Nya jua.

Dari post saya dahulu bertajuk "Jodoh: Mencari atau Menunggu", seorang muslimah ada menimbulkan persoalan mengenai ujian mencari pasangan hidup dalam realiti kehidupan hari ini.

'Soleh'kan diri jika kita mahukan pasangan yang soleh juga. Good people attracts good people. Simple.

Itu antara intipati post saya yang terdahulu.

Yup, tapi realiti tak semudah itu.

Cukupkah sekadar memperbaiki diri sendiri, tapi tiada usaha mencari?

Bagi yang sudah mempersiapkan diri sebelum berkahwin (sekurang-kurangnya di tahap minima), apa pula tindakan yang seterusnya?

Jadi di sini masuk fasa seterusnya. Pencarian 'the other half'.

Kalau kita hanya duduk di rumah sambil goyang kaki, sukar juga mahu bertemu jodoh kan?

Bagaimana mahu mencari pasangan hidup?

Apakah ciri-ciri pasangan hidup yang anda cari?

Post ini khas buat anda yang sudah mampu untuk mendirikan masjid, tetapi belum lagi dikurniakan rezeki untuk berbuat demikian.

Semoga Allah permudahkan.


Sunday, July 5, 2015

Buat Sang Pendosa

Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang, Maha Pengasih.


Dosa.

Satu perkara yang tidak dapat tidak akan terkait dengan manusia dan kehidupannya.

Satu benda yang menghantui seseorang mukmin yang sentiasa berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah.

Satu noda yang mengotori hati, tapi jika kita sikapi ia dengan sebaiknya, bahkan mungkin sebaliknya dapat mendekatkan kita pada Sang Pencipta.

Benar. Bukankah manusia itu tidak terlepas dari melakukan dosa?

Tapi itu bukan alasan untuk kita terus berdosa. Hakikatnya, yang membezakan manusia antara satu dengan yang lain adalah bagaimana dia menyikapinya.

Bagaimana anda menyikapi dosa?

Wednesday, July 23, 2014

Poem: For The Sake of Beloved Al-Aqsa

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Sajak saya lama dahulu, iaitu "Demi Al-Aqsa Tercinta" pernah diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris oleh kakak saya. Apa yang menarik juga, ia datangnya dari permintaan kawan kepada kakak saya, yang merupakan seorang Palestinian.

Semoga kakak saya, rakan Palestinnya dan seluruh rakyat Palestin yang sedang diuji saat ini, diberikan petunjuk dan rahmat oleh Allah. InsyaAllah.

Palestin di bulan Ramadhan yang mulia ini, telah dibedil bertubi-tubi oleh Israel Zionis. Kita sebagai saudara seIslam, jangan lupa untuk menembak doa bertubi-tubi buat saudara kita di sana. Selain kita sumbangkan apa sahaja yang kita mampu dan ada buat mereka. Tak kiralah sama ada duit, masa, tenaga, bakat menulis, kepakaran grafik maupun doa. Semoga kita terus-menerus memberikan sokongan buat mereka kerana, kita sudah meanggap Palestinians bahagian dari keluarga kita juga.

Maka, terimalah.


For The Sake of Beloved Al-Aqsa

Oh mankind...
For the sake of beloved al-Aqsa
Don't ever say you have no strength
Keeping silent
Only capable of making do'a?

However
What is the meaning of do'a
If it's without effort

That is Allah's home which is being torn
Our brothers and sisters too
Being killed and raped
It's too cruel, are they aren't human beings too?

However
We only watch and let it be?
Could we?

Please brothers and sisters,
Wake up for the sake of beloved Al-Aqsa!

Hit your chest hard
Ask yourself
Have I gave it my best to defend Al-Aqsa?

--
By Malaysian Muslims supporting Palestine

Sunday, July 20, 2014

Perkongsian: Kembali pada Al-Qur'an (part 1)

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Saya teringat akan perkongsian Nouman Ali Khan yang saya hadiri hujung bulan lepas di Shah Alam bertajuk "Blessed Guest: Ramadhan & The Qur'an", dan salah satu pesan Nouman Ali Khan adalah untuk kita kembali kepada Al-Qur'an dan kemudiaanya mengajak famili, kawan dan orang-orang di sekeliling kita kepada Al-Qur'an.

Dalam sesi sharingnya itu, Nouman ada mengupas sepotong ayat Qur'an, iaitu

" Dialah yang mengutus seorang Rasul kepada kaum yang buta huruf dalam kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan jiwa mereka, dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah, meskipun mereka sebelumnya benar-benar di dalam kesesatan yang nyata." (Surah Al-Jumu'ah, 62: 2)
Daripada ayat ini, kita dapat melihat teknik dan pendekatan dakwah atau islah yang Rasulullah s.a.w. ambil, ada 4 langkah, iaitu - 1) Membacakan ayat-ayat Allah, 2) Menyucikan jiwa mereka, 3) Mengajarkan Kitab dan 4) Mengajarkan Hikmah.

Menurut Nouman, 4 steps ini jugalah adalah step-step yang membawa perubahan kepada banyak manusia, manusia yang jahil, orang yang dahulunya bukan Islam, sang pemaksiat dan bermacam-macam jenis manusia yang lain, kepada Islam. Dan ianya bermula dengan step yang pertama sekali, iaitu sentuhan daripada ayat-ayat Allah itu sendiri.

Di sini, saya tak bercadang untuk kupas tentang 3 steps yang terakhir. Yang mahu saya hightlightkan pada perkongsian kali ini adalah berkenaan langkah pertama. Bagaimana Al-Qur'an itu dapat menjadi pencetus kepada perubahan tiap manusia, lantas masyarakat secara keseluruhannya. Dan ini juga apa yang dijadikan main highlight oleh Nouman Ali Khan dalam talknya tempoh hari.

Al-Qur'an adalah petunjuk bagi manusia

Ramai di antara kita mahukan perubahan, sama ada perubahan kepada diri kita sendiri, keluarga, rakan-rakan, maupun masyarakat, tetapi tidak sedar akan satu hakikat - perubahan yang sebenar itu bermula dari pengenalan seseorang itu kepada ayat-ayat Allah. Dekatnya insan kepada Al-Qur'an. Perkara-perkara lain datang kemudian.

Bagaimana kita mahu diri kita atau masyarakat berubah ke arah yang lebih baik, jika sumber petunjuk untuk perubahan itu sendiri kita tidak hampiri, iaitu Mushaf Al-Qur'an.

Dalam Al-Qur'an Allah ada menyebut,
" (Al-Qur'an) ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini." (Surah Al-Jathiyah, 45: 20)
 Maka, Al-Qur'an itu jugalah yang kita perlukan untuk kita membawa manusia kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Al-Qur'an adalah petunjuk bagi seluruh manusia, tidak kira mereka soleh atau tidak, Islam maupun belum Islam, Al-Qur'an adalah 'peta kehidupan dunia' tiap-tiap dari kita.

Persoalan yang kita perlu tanya diri kita, apakah kita sudah mula mendalami ayat-ayat Allah dalam kitab suciNya itu?

Jika ya, sudahkah kita mula mendidik anak-anak kita, keluarga kita dan masyarakat kita pula tentang Al-Qur'an?

Persoalan-persoalan untuk kita muhasabah diri.

Tetapi, bagi yang baru hendak menjinak-jinakkan diri dengan Al-Qur'an, didiklah diri kita sendiri dengan ilmu Al-Qur'an. Perbanyakkan bacaan Al-Qur'an dan pada masa yang sama belajarlah untuk turut sama mendalami maknanya, melalui terjemahannya dan juga kelas-kelas tafsir.

Qur'an itu ibarat lautan dalam, yang mana semakin lama kita mendalaminya, makin banyak khazanah yang kita temui, dan ia tak akan pernah habis. Ada sahaja ilmu baru yang kita dapat perolehi daripada Al-Qur'an.

Kemudian, setelah kita makin berjinak-jinak kepada Qur'an, didiklah pula keluarga kita dengannya. Juga, bawa masyarakat di sekeliling kita mendekati Qur'an. Lantas, kita dapat menyaksikan perubahan ke arah yang lebih baik akan terjadi kepada masyarakat kita insyaAllah.

Soal aurat, zakat, riba, ikhtilat, halal dan haram, dan lain-lain semuanya adalah soalan-soalan yang terkemudian. Letak ia ketepi dahulu buat sementara ini. Kerana ia bukan soal pokok. Kerana insyaAllah, apabila hati seseorang itu telah disentuh oleh ayat-ayat Allah, semua perkara-perkara yang disebutkan tadi perlahan-perlahan akan dia amalkan sendiri. Bahkan mereka lakukan itu semua secara sukarela dan atas keinginan mereka sendiri, biidznillah.

Justeru ayuh! Mari kita jadikan diri kita sebahagian dari agen perubahan, buat diri kita sendiri, keluarga dan masyarakat dengan sentuhan Al-Qur'an. InsyaAllah.

Monday, May 27, 2013

Puisi: Apakah kehidupan ini yang akan aku teruskan?

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Hey manusia!
Kau hidup untuk memenuhi kehendakmu
Hiburan, hiburan dan hiburan memanjang
Sana sini kau sanggup pergi,
Agar kehendak dirimu itu sentiasa terpenuhi
Itukah yang menjadi makanan spiritualmu?
Apakah kau sudah lupa?
Adakah hiburan itu boleh menjadi saham syurga?

Jikalau kunyatakan padamu,
Hidup ini hanya sementara, bahkan ia hanya sekadar sedetik cuma
Apakah kehidupan itu yang mahu kau teruskan?

Hey manusia!
Kau hidup seperti tiada tujuan
Mengejar dunia, mengejar kemewahan
mengejar wanita, mengejar pangkat dan jawatan
Hey, apakah kau sudah alpa?
Bukankah asal penciptaanmu di muka bumi ini punya tujuan?

Jikalau kukatakan padamu,
Hidup ini hanya sementara, bahkan ia hanya sedetik cuma
Apakah kehidupan itu yang mahu kau teruskan?

Hey manusia!
Kau selalu alpa, kau sering leka!
Tatkala senang kau lupa Dia
Apabila kau susah, kau datang padanya dengan rasa lemah dan rendah
Sedang cecair memenuhi kelopak matamu
Apakah kau lupa, ketika kau bahagia siapa yang memberikan?
Bila kau merasa sukar, siapa yang meringankan?

Jikalau kuperingatkan padamu,
Suatu hakikat yang terang lagi pasti
Sungguh, hidup dunia ini hanya sementara
Bahkan ia hanya sedetik cuma

Tepuk dada, ingat pada Tuhan...

" Adakah kehidupanku ini yang akan aku teruskan?"

MF
13|05|27


Rujukan/Ilham

" Pada hari ketika mereka melihat hari kiamat itu (kerana suasanya hebat), mereka merasa seakan-akan hanya (sebentar sahaja) tinggal (di dunia) pada waktu petang atau pagi hari."
[Surah An-Naziat, 79: 46]

" Sedang kamu memilih kehidupan dunia,
Padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal."
[Surah Al-A'la, 87: 16-17]

" Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdo'a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdo'a kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan."
[Surah Yunus, 10: 12]