Thursday, July 28, 2011

Perkongsian: Universiti Ramadhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Semoga Ramadhan kali ini, penuh makna...


"Apabila  bulan  Ramadhan  telah  datang,  maka  dibukalah  pintu-pintu syurga,  ditutuplah  pintu-pintu neraka  dan  diikatlah  semua  syaitan."
(Muttafaq 'alaih)

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, sedar tak sedar, Ramadhan sudah amat hampir dengan kita.

Alhamdulillah...

Ya Allah sampaikan kami ke bulan mulia itu..

Aminn

Kita teruja tidak untuk menghadapi bulan Ramadhan kali ini?



Jika para sahabat, bulan Ramadhan merupakan suatu bulan yang amat mereka nanti-nantikan. Sebelum hadirnya Ramadhan, mereka sering berdoa kepada Allah agar mereka diketemukan dengan Ramadhan dan mempersiapkan diri beberapa bulan sebelum tibanya Ramadhan lagi!

Antara doa yang boleh diamalkan,


“Allaahumma Baarik Lana Fii Rajaba Wa Sya’baana, Wa Ballighna Ramadhaana."
~Ya Allah, berilah keberkahan pada kami di dalam bulan Rajab dan Sya’ban serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.~


Bagi menyambutnya juga, persediaan dari sudut rohani, fizikal dan mental dipersiapkan bagi mengharungi bulan Ramadhan yang peluangnya datang hanya setahun sekali cuma.

Seperti lagaknya mahu menyambut satu perayaan besar-besaran, persiapan-persiapan pra-perayaan perlu dilakukan. Pelbagai jenis persiapan akan dilakukan demi memastikan perjalanan pada hari perayaan kelak dapat berjalan dengan lancar dan berjayanya.

Begitu juga dalam kita menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak. Persiapan-persiapan pra-Ramadhan harus kita lakukan sebaiknya. Kita mahu diri kita tenang melaksanakan ibadah-ibadah di dalamnya. Kita mahu latihan diri di bulan Ramadhan dapat kita jalani dengan berjayanya. Dan persediaan yang saya katakan di sini sudah tentu bukan persediaan wang ringgit maupun materialistik. Persediaan yang dimaksudkan adalah persiapan diri. Itu yang utama.

Cuba anda tanya diri.

Tika ini, sudah cukupkah persediaan yang aku lakukan untuk menghadapinya?


Universiti Ramadhan

Dalam kita mempersiapkan diri, pertama, makna Ramadhan itu sendiri harus kita fahami. Ia amat penting agar hadirnya Ramadhan kita hargai, kemudian ketika di dalamnya kita menggunakan peluang yang ada sehabis baik, lantas di hujungnya, moga-moga Ramadhan kali ini menjadi suatu bulan yang penuh makna bagi kita. Menjadikan kita seorang manusia yang lebih baik daripada sebelumnya.

Pelbagai nama digunakan dalam mendefinisikan Ramadhan. 'Bulan keberkatan' (Ramadhan Al-Mubarak), 'Bulan Kemuliaan' (Ramadhan Al-Kareem), dan berbagai lagi.

Di sini, suka saya menyentuh dari satu sudut lain, yakni bulan Ramadhan sebagai universiti, atau sekolah. Atau sering kali dipanggil, 'Madrasah Ramadhan'.

Universiti Ramadhan? Apakah? Istilah yang digunakan itu tidak penting mana sebenarnya. Apa yang utama, konsep atau maknanya kita fahami.

Baik. Secara mudah, apa yang manusia perolehi apabila berada di sebuah universiti? Didikan, latihan, pengajaran dan pembelajaran, proses pembentukan insan, seterusnya dan seterusnya. Benar?

Justeru, begitu juga bagaimana seharusnya kita melihat bulan Ramadhan  kali ini. Bulan Ramadhan ini hakikatnya adalah 'Bulan Tarbiyyah' (Bulan Didikan), yang mana melaluinya, seseorang Muslim itu seharusnya terdidik jiwanya. Terdidik peribadinya.

Bagaimana Ramadhan ini dapat mendidik kita? Sesungguhnya pelbagai didikan yang Allah beri pada kita melalui Ramadhan.



Dengan ibadah puasa sahaja, kita didik untuk mengawal nafsu kita. Kita didik bukan hanya untuk menahan diri dari makan dan minum. Bahkan, pada masa yang sama, kita turut dididik untuk mengawal nafsu syahwat kita. Ketika berpuasa kita hendaklah menjaga kemaluan, menjaga pandangan mata, hatta menjaga hati kita sekalipun.

Perkara ini ramai yang terlepas pandang. Bulan Ramadhan sebagai satu bulan pendidik nafsu. Sama ada mereka tidak tahu, atau tahu tapi buat tak endah.


"Orang yang berpuasa  itu meninggalkan makan, minum dan syahwatnya karena  taat  pada  perintahKu  -  Allah.  Puasa  adalah  untukKu  dan  Aku  akan memberikan balasannya, sedang sesuatu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipat gandanya."
(HR. Imam Bukhari) -Hadis Qudsi


Tambahan. Bukan sekadar sahaja kita dididik untuk memelihara nafsu, malah kita juga dididik untuk menjaga lidah kita. Kenapa lidah? Bak kata cendekiawan, ‘Lidah itu lebih tajam dari pisau’.

Dengan mulut yang celupar, ramai yang akan sakit hati. Melalui tutur kata yang kesat, permusuhan dan pergaduhan dengan mudahnya dapat tercetus. Wah! Bahaya sungguh lidah kita ini ya.


"Apabila  pada  hari  seseorang di  antara engkau semua  itu berpuasa, maka janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya saya sedang berpuasa."
(Muttafaq 'alaih)


Maka, di bulan Ramadhan ini juga, mari kita latih diri untuk menjaga lidah kita. Memelihara tutur kata kita. Berkatalah menggunakan kata-kata yang baik dan ada manfaat. Jika tidak dapat melakukannya, cukuplah hanya berdiam diri. Ya. Satu perkara yang harus kita pandang serius. Mengapa? Seandainya perintah ini kita abai, ditakuti, tidak ada apa-apa yang akan kita peroleh dari puasa kita nanti, melainkan hanya lapar dan dahaga.

Dalam sebuah hadis,


"Barangsiapa  yang  tidak  meninggalkan  kata-kata  dusta  dan  tidak  pula meninggalkan berkelakuan dengan dasar dusta, maka tidak ada keperluannya bagi  Allah  dalam  ia meninggalkan makan  dan minumnya." Maksudnya:  Di waktu  berpuasa  itu  hendaknya meninggalkan  hal-hal  di  atas,  agar  berpahala puasanya tadi."
(HR. Bukhari)


Penutup: Ayuh! Siapkan diri kita untuk dilatih.


Banyak lagi didikan-didikan yang mampu kita perolehi dari bulan mulia ini. Ramadhan melatih kita untuk sabar dan tabah tika diuji. Mendidik kita untuk mampu mengawal diri kita. Melatih kita berdisiplin. Mendidik diri kita untuk menjadi hambaNya yang sebenar-benarnya, 24/7.

Mudah kata, didikan rohani dan diri yang diberikan bersifat ‘holistik’.

Hmm.. Namun begitu, adakah semua muslim akan berjaya terdidik dengan didikan-didikan di dalam Ramadhan?

Adakah pasti, diri kita ini akan menjadi seorang insan yang lebih baik selepas melalui bulan Ramadhan?

Semudah itukah?


Bak kata salah seorang pensyarah saya,

“I may help you. But if you don’t help yourself, i can’t do anything to help you.”


Benar. Justeru, dalam perkara apa-apa sekalipun, semuanya akan kembali pada diri kita sendiri.

Biar kita ditempatkan di universiti terbaik sekalipun, malah dididik oleh guru yang terhebat mungkin, selagi mana kita sendiri tidak mahu terdidik, tidak mahu menyediakan diri untuk perubahan ke arah yang lebih baik, maka semuanya itu hanya akan menjadi sia-sia sahaja.

Bayangkan. . . (ketika berada di dalam universiti)

Ketika kelas sedang berlangsung, fikiran kita menerawang ke tempat lain.
Sewaktu pensyarah sedang mengajar, kita bersembang.
Tatkala bahan pelajaran disampaikan, kita tidur.
Ataupun, kelas yang diadakan itu sendiri langsung tidak kita hadiri.

Maka apakah proses pendidikan itu dapat berjalan?

Jika begitu sikap kita, adakah kita dapat mengambil manfaat dari pelajaran yang dikurniakan?

Sudah tentu tidak!

Maka begitu juga dengan bulan Ramadhan. First rule. Jika kamu tidak mahu membantu diri kamu sendiri, maka kamu tidak akan terbantu.

Justeru amat penting kita menyedari bulan Ramadhan kali ini sebagai satu bulan didikan. Satu bulan tarbiyyah. Lantas kemudiannya menyediakan diri kita untuk terdidik dengan dididikan-dididikan Ramadhan.

Mari kita mempersiapkan diri menghadapinya. Mari sama-sama kita pasang niat serta target, mahu menjadi hambaNya yang lebih baik selepas melalui Ramadhan. Dapat menjalankan peranan sebagai hamba sepenuh masa.

Ayuh!

Harapannya, proses didikan ini akan menjadi suatu pengalaman yang amat kita hargai dan merasa syukur, ketika kita melihatnya kembali sewaktu berada di Akhirat kelak. InshaAllah.

Moga-moga, Ramadhan kali ini penuh makna.


ps: ini merupakan post yang ditulis pada Ramadhan tahun lepas. post ini saya naikkan kembali, dengan tujuan agar lebih ramai dapat manfaat darinya. mudah-mudahan

ps: Ramadhan sebagai pusat latihan. hmm. tetapi, apakah agaknya 'end product' yang ingin kita peroleh dari Ramadhan ye? inshaAllah, to be continued. . .

4 comments:

Jamal Ali said...

Kini sudah tiba Ramadhan,
apa lagi?

MF said...

Ayuh..

Kelas Ramadhan telah bermula!

Dari pukul 12pagi - 12 pagi (keesokannya).. dalam sebulan bulan Ramadhan..

Jangan tak hadir atau tidak fokus ye.. Kalau x kena penalised.. ^^

~melatih diri konsisten tahajjud, dan subuh berjemaah.. mengambil kesempatan bangun sahur

nusrah said...

Ayuh kita berlari ke syurga. Mencari syurga dalam Ramadhan ini. Moga Allah permudahkan urusan ibadah.

Ramadhan Kareem :)

Cik Cengkih said...

assalam..

mohon share ye, bole x??