Friday, August 12, 2011

Perkongsian: Apa yang Ingin Kita Capai Darinya?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Apa misi kita untuk Ramadhan kali ini?

Segala puji bagi Allah, kita sekali lagi dipilih Allah untuk bertemu tetamu agung, Ramadhan. Alhamdulillah.

Ramadhan merupakan satu bulan yang dilimpahi rahmat, keampunan dan barakah di dalamnya. Kerana itu, Ramadhan adalah satu anugerah yang cukup besar dari Allah, buat hamba-hambaNya.

Mereka yang sedar akan hakikat Ramadhan yang sebenar, sudah pasti akan menggunakan nikmat ini dengan sehabis baik. Ramadhan yang hadir, akan dipastikan tidak sekadar berlalu begitu sahaja, tanpa ada apa-apa kesan peningkatan terhadap diri. Bilangan hari-hari Ramadhan yang berbaki, pasti akan dimaknakan dengan bersungguh-sungguh.

Justeru, suatu target pencapaian harus diletakkan, supaya lebih jelas dan terarah matlamat yang mahu diperoleh dari Ramadhan kali ini.

Persoalannya, apa yang ingin kita capai melalui Ramadhan?

Apa yang ingin aku capai?

Seperti yang kita tahu, dalam mana-mana kilang, pastinya akan ada 'End Products' yang ingin dihasilkan. Begitu juga dalam sesebuah universiti, sekolah, madrasah dan apa-apa contoh lain yang hampir dengannya. Pasti, ada 'end products' yang ingin dicapai.

Bagaimana pula dengan Madrasah Ramadhan?

Allah telah mempersediakan satu bulan khas yang cukup istimewa buat kita umat Islam. Dan agak-agaknya, apakah 'end products' yang ingin Dia lihat?

" Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa,"
[Surah Al-Baqarah, 2: 183]

Yup. Maka seharusnya, itulah yang menjadi matlamat atau misi kita dalam 'Bulan Tarbiyyah' ini. Iaitu, untuk menjadi hamba-hamba Allah yang bertaqwa.

Pensyariatan wajibnya umat Islam berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, adalah demi mendidik kita tentang makna taqwa itu tadi.

Nampak?

Sudah jelaskah misi kita untuk Ramadhan kali ini?

Ok. Namun, persoalannya pula, adakah kita tahu apa yang dimaksudkan dengan taqwa?


Apa itu taqwa?

Suatu hari, Saidina Umar Al-Khattab pernah bertanya kepada Ubay bin Ka'ab,

“Wahai Ubay, apakah makna taqwa?”

“Apakah kau pernah melalu satu jalan yang penuh dengan duri wahai Umar?”

“Ya”

“Maka apakah yang kau lakukan?”

“Aku sinsing kain jubahku, dan berjalan dengan berhati-hati, agar jubahku tidak tercarik dek duri, dan kakiku tidak terpijak dengannya”

“Itulah taqwa”

Maka, itulah taqwa.

Fahamkah?

Cuba letak posisi kita, pada Umar tadi. Bila melalui jalan yang penuh dengan duri, apa agaknya yang kita lakukan?

Sudah tentu sama seperti apa yang Umar lakukan. Berjalan dengan penuh berhati-hati, kerana tak mahu terluka terpijak duri.

Kemudian, bagaimana pula perasaan kita ketika itu?

Takut, berwaspada, mengambil sikap berjaga-jaga?

Justeru, itulah taqwa. Apabila perasaan takut(khusyu') kepada Allah tadi, menimbulkan sikap berhati-hati dalam segenap lingkup kehidupan kita. Yup.

Dengan tersematnya taqwa di dalam hati, seseorang itu akan berhati-hati dengan kata-katanya, berhati-hati dengan tiap tingkah lakunya, berhati-hati dalam menjaga hatinya. Dia akan berusaha dengan sedaya upaya menjaga dirinya, serta memastikan dirinya tidak sesekali melangkaui batas-batas yang digariskan oleh Allah. Kerana dia amat khuatir, jika perbuatannya itu bakal mengundang kemurkaan dari Allah, Yang Maha Perkasa.

Inilah yang dinamakan impak taqwa.


Kenapa penting?


Got taqwa?
~pic from rlv.zcache.com

Kenapa baik dalam Al-Qur'an, maupun hadis, kita muslimin, seringkali diingatkan agar bertaqwa?

Kenapa, orang-orang bertaqwa ini, Allah masukkan mereka dalam golongan manusia yang dicintai Allah? (Lihat AQ 3: 76)

Kenapa, Allah ciptakan suatu bulan khas, untuk kita meraih taqwa?

Penting sangatkah taqwa ini?

" ... Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa. Dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang mempunyai akal yang sihat!"
[Surah Al-Baqarah, 2: 201]

Yup. Kerana, Allah sendiri menyatakan pada kita, bahawa taqwa itu adalah sebaik-baik bekalan. Bekalan untuk kita harungi kehidupan kita di dunia, dan juga bekalan terbaik untuk dibawa menghadapNya di akhirat kelak.

Seperti yang sering kita lihat... umumnya, ramai manusia akan mempertingkatkan ibadah mereka ketika berada di Bulan Ramadhan... namun bagaimana pula keadaannya selepas Ramadhan?

Masjid tak semeriah dahulu.


Al-Qur'an kembali tersimpan kemas dalam almari.


Solat sunat jarang sekali dilaksanakan.


Perkara-perkara haram dan berdosa, yang sebelum ini berjaya ditahan ketika di bulan Ramadhan, juga, kembali dilakukan seperti biasa.

Dan juga terlihat pada aspek-aspek yang lain.... ianya menyedihkan bukan?

Ya, sudahtentu, yang saya maksudkan ini dalam konteks UMUM.

Justeru, apakah kita mahu, kejadian-kejadian ini turut sama terjadi ke atas diri kita?

Pastinya tidak.

Maka, dengan taqwa tadi, ia dapat menjadi suatu bekalan kepada seseorang hamba itu, agar mampu tetap istiqamah dalam beribadah, walaupun ketika ia berada di luar bulan Ramadhan. Biiznillah.

Kerana itu juga, ia bekalan terbaik.

Dan, seperti mana yang kita tahu, apabila tamatnya bulan Ramadhan nanti, syaitan-syaitan yang selama ini diikat, akan kembali bebas berkeliaran.

Musuh kita ini akan kembali menjalankan tugas mereka, amar mungkar nahi makruf(mengajak kepada kemungkaran dan mencegah perkara-perkara kebaikan) tanpa henti.

Justeru, apakah persiapan yang harus kita sediakan untuk menghadapi hakikat ini?

Sama seperti sebelum ini. Persiapan yang perlu dilakukan itu, tidak lain tak bukan, dengan menyematkan TAQWA di dalam hati. Ya, permasalahan yang berbeza, tapi hakikatnya berada dalam konteks yang sama.

Firman Allah s.w.t.,

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila mereka dibayang-bayangi pemikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya)."
[Surah Al-'Araf, 7:  201]

Bagaimana meraih taqwa?

Saya yakin, kita telah sedar akan peri pentingnya taqwa. Namun, persoalan berikutnya, bagaimana taqwa dapat digapai?

Taqwa itu berkait rapat dengan IHSAN. Dan ihsan pula, sebagaimana yang kita tahu, disebutkan dalam sebuah hadis - adalah beribadah seperti kamu sedang melihat Allah. Kalaupun kamu tidak melihatNya, kamu meyakini bahawa Allah sedang melihat kamu.

Jadi, untuk menggapai taqwa tadi, "God-conciousness"(muraqabah), yakni perasaan sedar, akan diri sentiasa diperhatikan oleh Allah perlu ditingkatkan dalam diri. Perbanyakkan amalan-amalan soleh yang dapat membawa hati kita semakin dekat kepada Allah, agar lama-kelamaan, benih-benih taqwa itu dapat disemai dan tumbuh dengan baik. InshaAllah.

Untuk meraih taqwa, kita perlu melalui suatu proses. Bukan sekelip mata sahaja, taqwa itu sudah tersemat dalam diri kita. Tidak.

Dan madrasah Ramadhan ini pastinya merupakan antara medan terbaik bagi kita melalui proses didikan itu.

Penutup: Ayuh sama-sama kita usahakan untuk meraihnya!

Mahukah kita mengulangi kesilapan-kesilapan Ramadhan yang lepas? Justeru ayuh kita sama-sama berusaha meraih taqwa di dalam diri.

Ayuh sama-sama kita mengejar ijazah taqwa.

Nikmat Ramadhan yang Allah kurniakan kepada kita buat kesekian kali ini, apakah sanggup kita persiakan?

Tidak? Justeru, buktikan ia pada amalan kita.

Jangan biarkan kesilapan-kesilapan kita pada Ramadhan lepas berulang kembali.

Mudah-mudahan, pada Ramadhan kali ini, tiap-tiap di antara kita mampu menggapai ijazah taqwa yang idam-idamkan, dan kemudiannya dapat menjadi hamba-hamba Allah, dalam erti kata yang sebenar.

Bukan menjadi hamba kepada Ramadhan.

InshaAllah...

Jom!

" Amalan kebajikan yang sedikit tetapi istiqamah(berterusan) lebih disukai Allah, berbanding amalan kebajikan yang banyak, tetapi tidak istiqamah (atau bermusim)."




ps: ini antara post-post yang sudah lama tersimpan di draft, dan hari ini, akhirnya dapat juga ia saya sempurnakan. huhu
ps: mujadah itu perlu (untuk meraih taqwa, konsisten dalam beribadah dll)... supaya MAHU dapat capai kepada MAMPU





Nota sisipan: Contoh perlaksanaan taqwa dalam fb


Contoh perlaksanaan taqwa yang dapat dilihat dengan mudah, adalah melalui penggunaan fb. 
Apabila taqwa ada di dalam diri, seseorang itu akan berhati-hati dalam tiap tindak-tanduknya. Antara persoalan yang akan timbul dari benak hatinya:


-Apakah masanya terbuang dengan perkara yang sia-sia?


-Apakah pandangannya, terus dijaga, walaupun tiada manusia yang sedang melihatnya?
*menatap wanita (lama-lama@pandangan kedua)walaupun ia telah menutup aurat juga termasuk dalam tidak menjaga pandangan.


-Apakah batasan-batasan pergaulan terus dijaga, walaupun dalam keadaan suasana sekeliling@rakan-rakannya yang tidak turut sama menjaga batas-batas pergaulan?


Keyakinan serta kesedarannya bahawa Allah sentiasa melihat apa yang dia lakukan, akan menjadi benteng buat dirinya dari melakukan perbuatan yang sia-sia, walaupun mungkin, perkara itu dipandang remeh oleh ramai orang. 


Sifat dalam dirinya yang mengutamakan pandangan Allah berbanding pandangan manusia - akan menggerakkanya untuk zoom in perkara-perkara yang mungkin kecil (pada penglihatan manusia lain), kerana dia tak redha dirinya yang menjadi milik Allah, menggunakan anggota tubuh kurniaanNya tadi demi melakukan perkara-perkara yang mengundang murkaNya.


Terlalu idealistik?


Namun, inilah hakikat sebenar dari impak taqwa yang kita bincangkan tadi.


Apakah taqwa itu ada dalam diri kita?


Ayuh sama-sama kita muhasabah.




ps: orang yang bertaqwa tetap tidak lari melakukan kesilapan, namun mereka akan segera bertaubat apabila mereka tersedar kesilapan mereka. (Lihat: AQ 3: 135)

1 comment:

firdausmuhammad said...

Great post, akh..

Berusaha mendapat 'end product' dari Madrasah Ramadhan..

InsyaAllah..:D