Monday, December 19, 2011

Gambar: Pilihan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang



Dalam kedinginan udara yang berhawa
Dalam keempukan selimut yang membekalkan haba
Selesa
Damai tubuh itu terasa
Dan pergerakan anggota tubuh menjadi berat

Tetapi...
Bukankah katanya seorang dai'e
Apakah alasan-alasan seperti ini yang mahu kau beri?

Bukankah panas mentari pasti menyengat tubuh sang pejuang itu?
Bukankah sejuk bekuan pasti mencucuk-cucuk tulang sang dai'e itu?

Sekarang katakan
Apakah kau telah merasa senang dengan dunia ini, sehinggakan kakimu menjadi tertanam di tempatmu?
Sedangkan kau juga yang lebih mengetahui
Hakikat kehidupan dunia, yang amat kecil jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat kita nanti

Pilihan di tanganmu
Engkau tentukan masa depanmu
Maka, pilihlah untuk berjuang dengan jiwa ragamu
Sekaligus meninggalkan keempukan tilam, yang hanya membantutkan potensi yang ada dalam dirimu itu!

---
slave of Almighty
~bangkit kembali adalah suatu kemestian, bukan lagi pilihan~
11|12|18


ps: maaf kerana mengambil masa yang lama untuk kembali mengupdate blog
ps: ayat-ayat Al-Qur'an yang berkaitan dengan post ini - Qs 9: 38, 41, 81

Tuesday, November 29, 2011

Puisi: Hijrah?

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.



Hati itu... sekali lagi menangis
Apabila memikirkan kebodohan-kebodohan yang telah ia lakukan
Mengenangkan kealpaannya akan kehidupan yang mempesonakan
Dan dosa-dosanya yang tidak mampu lagi terhitung

Hati itu keliru
Bagaimana mungkin ia dapat memilih jalan yang lurus itu?
Kerana matanya itu telah terkaburi
Dek warna-warni dunia yang keindahannya menyilaukan pandangan mata
Kini, samar-samar sahaja terlihat cahaya-Nya
Untuk dia kembali
Berpijak atas jalan dagang, yang bebas dari tipu daya dunia itu

Hati itu...
Masih hidupkah ia?
Masih kedengarankah suara-suara iman di dalamnya?

Hanya satu...
Kembalikan hati itu pada fitrahnya
Fitrah hati untuk berpaut gantung hanya pada Yang Esa
Fitrah insani untuk tunduk patuh atas suruhan Yang Berkuasa

Agar hati yang sebelum ini kelam itu, mampu bersinar kembali
Terpancar darinya nur yang teramat indah
Sebagai penyuluh langkah, dalam meniti kehidupan yang tidak kurang mencabar
Hanya atas izin dari Allah

Hati itu...
Sudahkah ia mula bergerak kembali kepada fitrah?

---
slave of Almighty
~Sekalipun Allah mahu membimbing kita, jika kita memilih untuk tidak mengerakkan kaki, maka sedikitpun kita tidak akan berganjak~
11|11|29


Sumber rujukan / ilham :

" Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam); (sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
[Surah Ar-Rum, 30: 30]


" Dan apakah orang yang sudah mati lalu Kami hidupkan dan Kami beri dia cahaya yang membuatnya dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, sama dengan orang yang berada dalam kegelapan, sehingga dia tidak dapat keluar dari sana? Demikianlah Kami jadikan terasa indah bagi orang-orang kafir terhadap   apa yang mereka kerjakan."
[Surah Al-An'am, 6: 122]

Thursday, September 22, 2011

Puisi: Menembak cinta

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Menembaklah dengan niat serta matlamat yang jelas

Menembak cinta

Pena itu berlari-lari di atas lembaran itu
Terjeda sebentar
Dan berlari kembali

Ke kiri dan ke kanan
Ke atas dan ke bawah
Lincah pena itu bergerak
Mencoret kata di atas rasa cinta
Diluahkan, segala rasa
Seperti anak-anak panah runcing yang dilepaskan dari busurnya
Terbang
Deras melayang
Lalu tepat menembusi dada-dada manusia
Tertusuk, sampai ke pangkal hati

Terpacak panah tadi pada permukaan, kalaupun ke dasar tidak mampu ia tembusi
Kerana sekeras-keras batu pun
Jika dititiskan air yang tiada henti
Pasti
Pasti, menjadi lembut dan retak kerana air itu tadi

Pena itu terus berlari
Dan berlari lagi
Ribuan anak panah berterbangan di udara
Masing-masing gigih mencari mangsanya
Siapa sahaja yang masih punya hati
Akan disasari
Bakal ia ratahi
Menyusup masukkan virus cinta Ilahi
Agar meresap ke segenap diri

Teruskan menembak cinta wahai pemanah-pemanah Ilahi!
Dan cukup Yang Maha Mensyukuri sahaja, penilai kepada usaha kita ini

---
slave of Almighty
~Menembak dari hati, akan tertusuk jua ke hati~
11|09|22



Sumber rujukan / ilham

"Aku adalah anak-anak panah Islam. Campakkanlah aku ke mana sahaja, aku tetap berjuang demi Islam"
-Saad bin Abi Waqas

" Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata, 'Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri'?"
[Surah Fussilat, 41: 33]

" Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah terhadap apa yang kamu kerjakan."
[Surah Al-Baqarah, 2: 74]

Tuesday, August 16, 2011

Perkongsian: Muhasabah Ramadhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Andai ku tahu ini Ramadhanku yang terakhir. . .
~pic by fc05 of deviantart

Malam itu sepi. Angin semilir mengalus-alus lembut mukaku, menyapa sanubari. Bulan mengambang penuh, memberi petanda, separuh masa pertama Ramadhan telah melabuhkan tirainya. (nak berpuitis sikit.. hehe)

Masa terasa berlalu begitu pantas. Sama ada kita hayati atau tidak, kita telah pun masuk fasa separuh masa kedua Ramadhan.

Bagaimana dengan hari-hari Ramadhan kita yang telah berlalu?

Sudahkah kita isinya dengan sebaiknya?

Mari sama-sama kita memuhasabah diri sejenak. Perhatikan apa yang telah kita lakukan dalam 15 hari Ramadhan yang telah berlalu. Ramadhan itu hakikatnya hadiah. 29 atau 30 hari yang sedang kita jalani ini merupakan satu pemberian dariNya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang beriman, Ramadhan ini adalah satu nikmat yang besar. Ia perlu dihayati, perlu dirasai.

Justeru, sudahkah kita 'lakukan' syukur akan nikmat yang diperolehi ini?

Dan cukupkah syukur yang telah kita laksanakan?

Mari sama-sama kita introspeksi diri.

Friday, August 12, 2011

Perkongsian: Apa yang Ingin Kita Capai Darinya?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Apa misi kita untuk Ramadhan kali ini?

Segala puji bagi Allah, kita sekali lagi dipilih Allah untuk bertemu tetamu agung, Ramadhan. Alhamdulillah.

Ramadhan merupakan satu bulan yang dilimpahi rahmat, keampunan dan barakah di dalamnya. Kerana itu, Ramadhan adalah satu anugerah yang cukup besar dari Allah, buat hamba-hambaNya.

Mereka yang sedar akan hakikat Ramadhan yang sebenar, sudah pasti akan menggunakan nikmat ini dengan sehabis baik. Ramadhan yang hadir, akan dipastikan tidak sekadar berlalu begitu sahaja, tanpa ada apa-apa kesan peningkatan terhadap diri. Bilangan hari-hari Ramadhan yang berbaki, pasti akan dimaknakan dengan bersungguh-sungguh.

Justeru, suatu target pencapaian harus diletakkan, supaya lebih jelas dan terarah matlamat yang mahu diperoleh dari Ramadhan kali ini.

Persoalannya, apa yang ingin kita capai melalui Ramadhan?

Thursday, July 28, 2011

Perkongsian: Universiti Ramadhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Semoga Ramadhan kali ini, penuh makna...


"Apabila  bulan  Ramadhan  telah  datang,  maka  dibukalah  pintu-pintu syurga,  ditutuplah  pintu-pintu neraka  dan  diikatlah  semua  syaitan."
(Muttafaq 'alaih)

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, sedar tak sedar, Ramadhan sudah amat hampir dengan kita.

Alhamdulillah...

Ya Allah sampaikan kami ke bulan mulia itu..

Aminn

Kita teruja tidak untuk menghadapi bulan Ramadhan kali ini?

Saturday, July 16, 2011

Perkongsian: Meraih momentum untuk Ramadhan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.



Today marks the mid of Syaaban.

Sama kita sedari atau tidak, Ramadhan kian menghampiri kita dengan begitu pantas sekali.

Tinggal 14 hari sahaja lagi.

Percayalah, tak lama lagi, kita sedar-sedar,

" Oh, esok kita sudah kena berpuasa."

Lantas, sebagai orang mukmin, kita seharusnya tidak bertangguh-tangguh lagi untuk menghadapi Ramadhan. Ramadhan yang bakal hadir, perlu kita raikan dengan persiapan-persiapan yang kemas dan lengkap sebelum Ramadhan.

Baik... jadi sebelum saya memasuki topik.

Cuba kita tanya diri masing-masing,

Agak-agaknya, sudahkah kita membuat persediaan yang cantik untuk menyambut Ramadhan kali ini?

Friday, June 10, 2011

Gambar: Sampai bila akan wujudnya 'aku'?

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Aku letih
Aku lemah
Aku tak mampu

Aku mahu itu
Aku suka ini
Aku malas

Aku, aku, aku
Sampai bila akan wujudnya 'aku'?

Sedang ummat memerlukan mereka yang sanggup berkorban demi agama
Bukan engkau, yang hanya tahu memikirkan perihal dirimu sahaja

Sedang Nabi Muhammad s.a.w. tetap bersabar dalam memperjuangkan agama
Akhirnya Islam mampu tersebar ke seluruh dunia

Nikmat iman dan islam pada dirimu itu
Apakah engkau tidak menghargainya?

Ayuh!!
Berkorban serta berjuanglah
Hidup ini bukan 'hanya untuk diri'
Sedang permasalahan ummat
Masih jauh untuk diatasi

Aku, aku, aku
Masihkah wujudnya 'aku' selepas ini?

slave of Almighty
~perlu memperbaiki diri, agar layak diiktiraf olehNya sebagai pembela agama Ilahi~
11|1|31



" Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim, sama seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri."
(HR. Bukhari)

Thursday, June 2, 2011

Perkongsian: Wahai para pendosa! Ketahuilah, sesungguhnya rahmat dan keampunan Allah itu teramatlah luas

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Lagu tema: Pencari JalanMu, dari Afghan.

Dosaku selautan dalam, apakah masih ada harapan untuk aku mendapat pengampunanNya?

Ada sebahagian manusia, yang pernah terjatuh ke lubang dosa. Kemudian, dia dikurniakan kesedaran, lantas kembali insaf.

Malangnya, dalam dia melangkah di atas muka bumi ini, dia terjatuh kembali ke lubang dosa yang sama.

Dia jatuh, lagi, dan lagi.

Yang terkadang, menyebabkan dirinya rasa lemah, dan serba salah. "Apakah keampunan Allah itu masih ada lagi untuknya?"

Dia rasa tidak mampu lagi untuk kembali kepada Allah.

Taubat yang dia lafazkan kepadaNya, sudah seringkali dia mungkiri. Dia sudah terjatuh jauh ke dalam lubang kemaksiatan.

"Apakah masih ada harapan buat aku, untuk kembali pada Allah?" detik hatinya.

Wahai hamba Allah yang telah melampaui batas dirinya sendiri, ketahuilah, bahawa rahmat dan keampunan Allah itu masih ada buatmu.

Wednesday, May 4, 2011

Gambar: Akan Ku ...

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

~pic from cypheru of deviantart


Akan ku gerakkan langkahku maju
Walau apapun hadangan di hadapanku

Kalaupun onak dan duri harus ku tapaki
Akan ku gagahi, demi menegakkan hakiki

Jika langkahku tersadung menyembah bumi
Takkan ku mengalah, kan ku bangkit kembali

Biarpun lumpuh seluruh kaki
Kan ku teruskan pula, meskipun merangkak

Kerana tiada kata henti dalam kamus hidupku
Melainkan perkataan syahid, sebagai kata penutup.

---
slave of Almighty
moga-moga Allah akan terus memberikan aku dan sahabat-sahabat, keteguhan di atas jalan ini
11|05|04

Friday, April 15, 2011

Motivasi: Selepas kesusahan, akan adanya kemudahan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Kepada mereka yang bakal/sedang menghadapi peperiksaan: Semoga berjaya! Ingatlah selepas kesusahan, akan datangnya kemudahan. Selepas penat lelah berusaha, akan datangnya kejayaan. InshaAllah. :)


Saya masih ingat lagi, pada minggu lepas.

Saya ketika itu merasa agak tertekan. Tugasan-tugasan universiti yang melambak, test yang saling ganti-berganti, ditambah dengan tanggungjawab-tanggungjawab lain yang kian bertambah. Jujur saya katakan, ketika itu, masa yang saya ada dirasakan amat-amat sempit.

Bahkan, pernah sekali, saya mendapat ruang untuk bernafas seketika, saya merasakan janggal. Kerana, seperti sudah lama saya tidak merasainya.

Lalu, di petang rabu itu, saya mengambil kesempatan untuk ber'chat'ting dengan ibu di perantauan.

Saya masih ingat lagi bagaimana saya mengadu kepadanya akan bebanan-bebanan di universiti yang semakin bertambah dan kesusahan-kesusahan yang dihadapi.

Kemudian, dia memberikan saya nasihat ringkas. Ya, cukup ringkas.

" Takpe. Lepas susah, mesti ada senang."

Jawapan yang mungkin dianggap typical. Ayat yang barangkali sering kita dengar.

Namun, dari membaca kata-kata itu, saya kembali memperoleh kekuatan.

Alhamdulillah.

Wednesday, April 13, 2011

Gambar: Ku Mahu Engkau Di Sisi

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Lagu tema: Ku Milik-Mu, dari Azhan Athan

Mahu terbang dengan lebih tinggi. . . Semuanya hanya dengan izin Ilahi. (klik gambar untuk lebih besar)


Ya Allah,
Sesungguhnya hambaMu ini banyak kelemahan,
Maka, tampungilah.

Ya Allah,
Sesungguhnya hambaMu ini banyak keaiban,
Maka, tutupilah.

Ya Allah,
Sesungguhnya hambaMu ini banyak dosa,
Maka, ampunilah.

Friday, March 25, 2011

Puisi: Tatkala Dahiku Mencecah ke Sejadah

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Beberapa anggota tubuh dibasahkan
Kaki mengatur langkah ke hamparan sejadah
Takbir dilaungkan
Pergerakan demi pergerakan dilakukan
Seketika sahaja
Dahiku telah mencecah ke sejadah

Allah...
Damai
Ketenangan menyelimut diri
Beban-beban dunia terasa hilang begitu sahaja

Lama
Tubuhku kaku dalam sujudku kepadaNya

Tuesday, January 25, 2011

Motivasi: Tak mampu

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Lagu tema: Aku Cinta Allah, dari kumpulan Wali Band
*sebagai motivasi tambahan serta penghayatan, mainkan lagu ini bersama, tatkala membaca artikel. :)

Rasa lemah. Sudahkah kita memohon kekuatan daripada Allah?


Ada kalanya, kita diuji dengan ujian yang teramat beratnya.

Ujian yang mampu membuat kita terduduk atau tersungkur.

Kita mahu bangkit, namun rasa lemah menguasai diri. Bahkan, kita rasa, jalan penyelesaian keluar itu seolah-olah tiada.

Lantas, satu perasaan itu mancul.

“ Aku tidak mampu.”

Itu apa yang kita rasa. Lalu, perasaan itu membawa kita kepada suatu tindakan lain. Berputus asa.

Namun, benarkah bahawa kita tidak mampu?

Monday, January 10, 2011

Gambar: Rindu

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

~pic by menteil.net

Rindu
Hanya itu yang terluah dari sanubariku
Dalam keseorangan ku melangkah
Kadang terasa langkahku gontai dan lemah

Rindu
Aku rindu pada sahabat-sahabatku
Mereka yang tidak lekang memberi aku peringatan
Agar diri ini, tidak terus alpa dan kelalaian
Meng'hidup'kan aku dalam keimanan

Rindu
Mahu ku lepaskan kerinduan ini
Dalam dakapan mereka yang ku rindui
Ya Allah, kekalkanlah ikatan persahabatan ini
Biar sampai syurga ia merentasi

Rindu
Dalam kejauhan ia menyapaku
Mungkin Dia ingin mengajar aku sesuatu
Agar diriku lebih menghargai nikmat persahabatan itu

Hariz Khair Ad-Deen
~penantian tidak lama akan berakhir~
11|1|10

Thursday, January 6, 2011

Perkongsian: Wahai pemuda-pemudi, janganlah kalian tertipu dengan cinta

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Cinta itu sering 'tampak' indah. Namun awas! Jangan anda tertipu dengannya.
~pic from http://www.whiteswancelebrations.com.au/

Ramai yang berkata, “ Cinta itu fitrah. Jadi, apa salahnya pada cinta?”

Ya. Tidak dapat dinafikan, cinta itu adalah fitrah. Fitrah, bererti sesuatu yang bersih. Fitrah bererti cinta itu sesuatu yang suci.

Namun, bagaimana sesuatu yang suci itu boleh menjadi fitnah(bencana)?

Cinta itu fitrah. Jadi, apakah pula yang cuba dimaksudkan dengan ‘janganlah kalian tertipu dengan cinta’?

Bukankah fitrah itu suatu yang membawa kepada kebaikan?