Thursday, January 5, 2012

Perkongsian: Kematian itu memberi makna kepada kehidupan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Baru-baru ini, saya dan beberapa sahabat pergi menziarahi kubur berdekatan dengan IPT kami. Aktiviti itu kami lakukan di tengah malam.

Di sana, masing-masing mengintropeksi diri. Cuba menginsafi kesalahan-kesalahan lepas serta kealpaan diri pada masa yang lalu.

Kematian - suatu motivasi?


Muhasabah akan kematian di kawasan perkuburan, pada saya, kesannya cukup baik. Melihatkan kubur-kubur yang dihuni oleh manusia-manusia, yang suatu ketika sama seperti kita juga dahulu. Hidup. Menjalani gaya hidup mereka yang tersendiri. Kini, ditinggalkan berseorangan di dalam tanah. Berharian-harian di situ. Minggu demi minggu, bulan demi bulan, tahun demi tahun. Tiada lagi keluarga dan sahabat untuk menemani. Yang tinggal, hanyalah amalan mereka semasa hidup di dunia, sebagai peneman.

Tiap-tiap manusia tidak akan terlepas dari mati. Segah manapun manusia itu dipandang ketika dia di bumi. Sebanyak manapun harta dan kekayaan yang berjaya dia kumpulkan. Manusia itu tidak akan pernah terlepas dari satu hakikat ini. Kematian.

Melihat kubur-kubur di keliling saya ketika itu, serta mengenangkan perihal hakikat kematian tadi, saya terfikirkan sesuatu.

Dan darinya saya seakan-akan memperoleh suatu motivasi.

Tahukah anda, apakah motivasi itu?



Melihat kehidupan

Saban hari, manusia terpaksa melalui penat lelah untuk hidup. Ada di kalangan manusia, hidup mereka sukar dan mereka dilanda kemiskinan. Tetap, mereka akan bersusah-payah bekerja mendapatkan wang untuk menyara hidup mereka serta menyara keluarga mereka.

Begitu juga bagi golongan pertengahan dan golongan berada. Untuk memperoleh wang, manusia terpaksa bekerja demi menyara hidup mereka dan keluarga. Dan pasti, dalam kehidupan mana-mana manusia, ada jatuh naiknya. Namun, ramai yang masih mampu untuk bertahan dan bersabar demi tidak berputus asa dalam kehidupan ini.

They work to survive. Atau dalam Bahasa Melayunya, mereka perlu bekerja untuk terus hidup. Untuk meneruskan kelangsungan kehidupan, generasi ke generasi, mereka perlu berusaha mencari nafkah.

Namun, pernahkah pula kita terfikir... kita hidup ini hanya sekadar untuk terus hidupkah? Atau sekadar mahu meneruskan kelangsungan keturunankah?

Seandainya begitu, untuk apa pula kita terus hidup? Untuk apa pula anak-anak kita terus hidup?

Sanggup menahan susah payah, kesukaran, dan kesakitan, demi meneruskan kehidupan. Akan tetapi, hidup kita hanya agar kita ‘terus hidup’?

Tidakkah ia sesuatu yang pelik?

Ataupun, manusia bertindak sedemikian rupa, kerana mereka cuba menafikan suatu hakikat... bahawa mereka akan mati. Mungkin?

Penyakit karahiyatul maut(takut kepada kematian)?




Kematian memberi makna kepada kehidupan

Maka, saya melihat pada kematian, di situ ada makna bagi kehidupan manusia di dunia ini.

Allah tidak menjadikan hidup manusia ini terus dan terus, berkekalan. Tidak.

Bahkan, pasti kehidupan menjadi bosan jika Allah jadikan ia seperti itu. Tiap-tiap hari, manusia akan melalui rutin kehidupan yang sama. Tidak jauh beza. Dan apabila hidup hanya sekadar di dunia, apakah lagi yang akan menjadi matlamat manusia, melainkan harta, pangkat dan kuasa? Hasilnya, wujudlah manusia-manusia yang tamak dan hanya mementingkan diri sendiri. Yelah, tiada siapa mahu hidup dalam kemelaratan.

Baik. Jika kita sudah berjaya mendapatkan semua itu, apa lagi yang hendak dikejar?

Di situ, manusia akan temui kekosongan dalam jiwa mereka. Ya. Kerana sesungguhnya, hidup untuk mencari kemewahan dunia bukanlah suatu matlamat yang jelas. Punya kelompongan yang besar di situ.

Bahkan, kita juga dapat melihat, bagaimana kehidupan artis-artis barat (artis di Malaysia pun apa kurangnya) yang mana dari segi ukuran dunia, kita boleh kata, mereka sudah punyai hampir segala-gala. Harta yang melimpah ruah, paras rupa yang elok, populariti yang menyebar luas di serata tempat. Apa lagi yang mereka perlukan? Ironinya, dari kalangan mereka inilah berlakunya kes-kes bunuh diri, masalah ketagihan dadah, dan keretakan rumah tangga.

Persolannya, mengapa?

Bukankah di tangan mereka sudah ada 'segala-galanya'?

Inilah realiti masyarakat kita pada hari ini.

Seandainya kematian itu tiada. Sekiranya hidup kita, hanyalah pada hidup di dunia ini. Yang terhasil, hanyalah manusia yang akan mudah putus asa. Kerana suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan, seseorang manusia itu tidak akan pernah merasa puas, walau seluruh dunia berada di dalam genggamannya. Benar?

Justeru kini, mungkin kita sudah dapat melihat suatu hikmah besar tentang kematian, yang telah Allah tetapkan buat kita, seluruh umat manusia.




Hikmah kematian

Sekali lagi, " Allah tidak menjadikan hidup manusia ini terus dan terus, berkekalan sampai bila-bila. Apa hikmahnya?" Dari persoalan inilah yang menggerakkan minda saya untuk berfikir dan berfikir ketika sedang bermuhasabah di tanah perkuburan itu. Lalu, kemudiannya dapat saya coretkan sesuatu di sini, moga-moga ia punya manfaat.

Pada hakikat kematian, manusia itu diajar bahawa hidup di dunia ini tidak kekal, malah sementara cuma.

Pada hakikat kematian, manusia itu dididik bahawa mereka masih punya kehidupan yang kekal abadi, selepas kehidupan di dunia ini.

Pada hakikat kematian juga, manusia itu disedarkan bahawa, walaubagaimanapun cara mereka mengendali kehidupan mereka di dunia ini, kelak, mereka itu semuanya akan dikembalikan kepada Sang Pencipta. Dan akan dipertanyakan atas setiap pilihan dan tindakan mereka di dunia. Justeru, masih wajarkah kita, makhluk ciptaan Allah melakukan keingkaran kepada-Nya?

Dan melalui hakikat-hakikat kematian itu tadi, kita akan melihat, ada sesuatu yang Allah mahu kita, hamba-hambaNya sedar, bahawa manusia itu diciptakan Allah, bukan sia-sia. Allah tidaklah menciptakan kita hanya atas suka-suka, melainkan manusia itu punyai tujuan hidup untuk mereka capai - iaitu redha-Nya. Itu matlamat kita sebagai manusia.

" Maka apakah kamu mengira Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
[Surah Al-Mukminun, 23: 115]

" Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepada-Ku."
[Surah Adz-Dzariyat, 51: 56]

" Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya."
[Surah Al-Baqarah (2): 207]


Dan atas kesedaran ini, kita akan melihat, hidup kita di dunia ini amat bermakna, jauh sekali untuk kita hanya mahu bermain-main atau bersuka ria di atas muka bumi Allah ini. Malah, adalah amat-amat merugikan lagi, jika masa kehidupan kita yang sementara ini, kita isi dengan keingkaran-keingkaran kita kepadaNya. Kan?

Justeru, bukankah hakikat kematian itu, memberi makna kepada kehidupan?


Penutup: Ingatan terhadap kematian itu merupakan suatu motivasi buat diri

Terus memperbaiki diri. Lagi, dan lagi. Menggunakan kesempatan hidup di dunia, untuk beramal sebaik-baiknya.
~pic from rileks.info



“Kubur-kubur di sini sudah semakin bertambah.” perlahan kata seorang sahabat saya, yang juga merangkap senior saya. Ketika itu, kami sudah ingin bergerak kembali ke IPT.

Saya terdiam sebentar memikirkannya. Pada kata-katanya, terdapat peringatan yang halus sifatnya.

Dalam kehidupan, jika kita melihat ia dari skop yang amat kecil, kita mungkin ‘hanya’ akan nampak,

‘Aku kena berusaha bersungguh-sungguh, untuk skor dalam exam’,

‘Aku kena bekerja bersungguh-sungguh untuk hidup tak susah’,

‘Aku perlu lebih berusaha, agar anak-anak dapat makan dan terjaga pendidikan’, dan banyak lagi kata-kata ‘aku…’ yang jika kita lihat dari satu sisi, mungkin, kita akan menyedari tertutupnya cara pemikiran kita itu, kerana melihat kehidupan kita hanya pada suatu-suatu masa atau ketika - iaitu masa sekarang. Ke hadapan dan ke hadapan lagi… tak pasti lagi macam mana.

Sebaliknya, jika kita melihat kehidupan ini dari skop yang luas, kita akan nampak lebih dari itu.

Akan datang suatu kesedaran, bahawa kita ini, tidak lain hanyalah salah seorang dari berbilion-bilion manusia yang Allah ciptakan.

Dalam banyak-banyak manusia itu, ada yang telah lama mati. Beribu-ribu tahun yang lepas mungkin. Ada juga manusia-manusia yang baru meninggalkan kehidupan dunia ini. Dan ada juga, manusia-manusia yang bakal Dia cipta kelak, di masa hadapan. Sekarang, kewujudan mereka hanya dalam pengetahuan Allah.

Dan di antara celah-celah manusia itulah, baru wujudnya kita. Tidakkah kita seharusnya merasa kerdil (kepada Allah)?

Seolah-olah, eksistensi setiap dari kita ini, seperti debu cuma. Ketiadaan kita, berkemungkinan, tidak akan memberi kesan yang besar terhadap alam kehidupan dunia. Betul?

Maka dari sudut pandang yang meluas seperti ini, kita akan mendapat motivasi dalam hidup.

Jika mereka diuji dengan penyakit dan kesengsaraan, mereka akan tetap termotivasi untuk sabar dan terus bersangka baik terhadap Allah.

Jika mereka diuji dengan dugaan-dugaan dan rintangan-rintangan dalam melakukan kebaikan, mereka akan terus termotivasi untuk menghadapinya dengan tabah, dan sekali-kali tidak berputus asa atau mengambil jalan untuk berhenti.

Jika mereka diuji pula dengan kemewahan dunia yang melimpah ruah atau pangkat dan kedudukan yang tinggi pada pandangan mata manusia, mereka tidak akan mudah alpa. Sebaliknya, mereka akan tetap termotivasi untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah, bertanggungjawab ke atas orang-orang di bawah pimpinannya dan menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara yang mengundang kebencian Allah.

Apa rahsia mereka?

Ini kerana, mereka sedar akan suatu hakikat yang teramat-amatlah penting - kehidupan mereka di dunia ini, hanya sementara. Lantas, berbaloikah kita menukarkan kehidupan akhirat kita demi mendapatkan kehidupan dunia ini?

Maka di situ, mereka melihat, pada hikmah kematian, ianya memberi erti pada kehidupan.


" Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun"
[Surah Al-Mulk, 67: 2]


ps: berkenaan galakan untuk menziarahi kubur, nanti bila saya jumpa dalilnya, saya akan letakkan, inshaAllah.
ps: post ini sudah lama saya tulis sebenarnya, tersimpan lama di dalam draft. cuma baru ini saya ada melakukan pengeditan di beberapa bahagian. harapnya ia dapat mengisi kekosongan perkongsian di blog ini, yang sudah lama tidak punya update-update. hrmm....

3 comments:

Jamal Ali said...

Satu
"Hati nan gadang itu yang tak akan rugi."

Dua
"Baru kusedar bahawa sangkaanku mengenai nikmat hidup itu tidak lengkap - tanpa mati."

Jamal Ali said...

Satu
Enta telah rasa kehidupan dengan hati, begitu juga dengan ana. Namun, enta telah merasa lebih daripada ana.

Dua
Betul itu akhi, kehidupan bermula kerana mati.

Jamal Ali said...

Samalah kita sebenarnya, tiga kali lima, lima kali tiga.