Tuesday, January 25, 2011

Motivasi: Tak mampu

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Lagu tema: Aku Cinta Allah, dari kumpulan Wali Band
*sebagai motivasi tambahan serta penghayatan, mainkan lagu ini bersama, tatkala membaca artikel. :)

Rasa lemah. Sudahkah kita memohon kekuatan daripada Allah?


Ada kalanya, kita diuji dengan ujian yang teramat beratnya.

Ujian yang mampu membuat kita terduduk atau tersungkur.

Kita mahu bangkit, namun rasa lemah menguasai diri. Bahkan, kita rasa, jalan penyelesaian keluar itu seolah-olah tiada.

Lantas, satu perasaan itu mancul.

“ Aku tidak mampu.”

Itu apa yang kita rasa. Lalu, perasaan itu membawa kita kepada suatu tindakan lain. Berputus asa.

Namun, benarkah bahawa kita tidak mampu?

Manusia itu diuji sesuai mengikut kemampuan

Sesungguhnya, manusia itu hanya akan diuji sesuai mengikut kemampuannya. Sehebat mana pun sesuatu ujian itu, sesukar mana pun ia di mata kita, percayalah, bahawa kita sebenarnya mampu untuk menghadapinya.

Sebagaimana janji Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah,

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. …”
[Surah Al-Baqarah, 2: 286]

Pengasih kan Allah? Allah itu tidak sekali-kali akan menzalimi hamba-hambaNya dengan memberi kita ujian-ujian yang melebihi tahap kemampuan kita. Tidak sekali-kali.

Namun begitu, mengapa ada masanya, perasaan ‘tidak mampu’ itu muncul dalam diri kita?

Mengapa kadangkala, kita rasa seperti diri kita telah direnggut segala daya dan upaya?

Kembalikan ujian itu kepada Yang Menciptakannya

Pada saya, rasa ‘tidak mampu’ itu muncul, apabila kita, makhluk ciptaanNya, tidak kembalikan masalah atau ujian itu kepada Allah.

Ya. Tatkala diuji, manusia itu seringkali meletakkan kepercayaan atas keupayaan dirinya terlebih dahulu, berbanding meletakkan pergantungan kepada Allah. Lantas, apabila sesekali Dia menguji kita dengan ujian yang tidak terduga, jadilah kita tersentap, lalu diam terduduk.

Sebaliknya, bagi orang-orang yang beriman, bukan itu caranya mereka berhadapan dengan ujian.

Tatkala mereka diuji, ingatan mereka segera dikembalikan kepada Allah. Darinya, ketenangan dan kekuatan itu akan muncul.

Firman Allah dalam kitabNya,

" Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun"(sesungguhnya kami milik Allah, dan kepadaNya jualah kami akan dikembalikan). Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."
[Surah Al-Baqarah, 2: 155-157]

Maka, letakkan pergantungan dan keyakinan dirimu ‘sepenuhnya’ kepada Allah. Dengan izinNya, ujian yang berat itu akan terasa lebih ringan lagi.

Bukankah ujian itu datang dari Allah, maka, kepada siapa lagi harus kita kembalikan, jika tidak kepada Yang Maha Mencipta?

Bukankah kekuatan itu semuanya milik Allah, justeru, kepada siapa lagi harus kita meletakkan sepenuh pergantungan dan harapan, jika tidak kepada Yang Maha Berkuasa?


Hebatnya keimanan seorang Bilal bin Rabah

Menyentuh perihal keyakinan dan kebergantungan kepada Allah, suka saya bawakan satu kisah yang pada saya, amat baik untuk kita ambil pengajaran dan jadikan contoh teladan, iaitu daripada seorang sahabat Rasulullah s.a.w. bernama Bilal bin Rabah.

Bilal bin Rabah ini pada asalnya merupakan hamba sahaya kepada tuannya, Umayah bin Khalaf, seorang tokoh kepada Bani Jumah.

Pada suatu hari, Umayah bin Khalaf telah mendapat berita bahawa, hambanya, Bilal bin Rabah telah memeluk Islam. Umayah yang sebelum itu telah berkali-kali menyatakan kebenciannya terhadap agama yang dibawa Muhammad s.a.w. itu, merasa terhina dengan keIslaman hambanya, apatah lagi dengan kedudukan yang dia ada pada ketika itu.

Disebabkan itu, Bilal diseksa dan diseksa dengan sungguh kejam. Bilal dibaringkan di atas kehangatan padang pasir yang menyengat, lalu ditindih dengan batu besar yang juga panas, dengan tujuan agar Bilal meninggalkan agamanya. Sakitnya seperti berada di antara dua bara api.

Para penyeksa berkata padanya, ‘Sebutlah tuhan Lata dan tuhan Uzza.” Jika Bilal menuruti, beliau akan terlepas dari diseksa lagi.

Namun, adakah beliau menuruti? Tidak.

Sebaliknya, apa pula yang terbit dari bibirnya... “Ahad… Ahad..” Yang Esa. Yang Esa.

Subhanallah. Dapatkah kita lihat betapa kuatnya keyakinan Bilal kepada Allah?

Ujian yang ditimpa ke atasnya, cukup hebat, bahkan, amat jauh lebih berat jika dibandingkan dengan segala ujian-ujian yang kita pernah hadapi.

Lalu, kepada siapa dia mengembalikan urusan itu semua? Allah.

Bagaimana beliau beroleh kekuatan untuk menghadapi ujian yang ditimpakan ke atasnya? Bergantung harap kepada Allah.

Bahkan, seksaan-seksaan yang dikenakan ke atas Bilal itu bukanlah hanya sehari. Malah, berhari-hari lamanya. Ditambah, seksaan-seksaan dalam bentuk lain juga turut dikenakan, seperti diikat pada tiang, dan dilemparkan dengan batu-batu, dipukul dan sebagainya.

Lahaulawala quwatta illa billah.

Di situ, kita dapat lihat. Tabah, istiqamah dan teguhnya seorang Bilal bin Rabah. Dan semua itu hadir, tidak lain dan tidak bukan, atas kebergantungan dan keyakinannya kepada Allah. Yang Maha Perkasa.

Apakah manusia itu melihat?

Penutup: Allah itu ada untuk membantu kita, cuma kita yang jarang mendekatiNya

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Allah Azzawajalla berfirman dalam Hadis Qudsi:
"Aku adalah menurut sangkaan hambaKu dan Aku akan selalu bersertanya selama ia mengingat padaKu.
Demi Allah, nescayalah Allah itu lebih gembira kepada taubatnya seseorang hambaNya daripada seseorang di antara engkau semua yang menemukan sesuatu bendanya yang telah hilang di padang yang luas.
Barangsiapa yang mendekat padaKu dalam jarak sejengkal, maka Aku mendekat padanya dalam jarak sehasta dan barangsiapa yang mendekat padaKu dalam jarak sehasta, maka Aku  mendekat padanya dalam jarak sedepa. Jikalau hambaKu itu mendatangi Aku dengan berjalan, maka Aku mendatanginya dengan bergegas-gegas."
[Muttafaq 'alaih]

Kita rasa lemah.

Kita rasa tidak mampu.

Kita rasa hopeless.

Namun, sudahkah kita kembalikan ujian itu kepada Allah?

….

Bukankah Allah itu telah berjanji bahawa Dia sentiasa bersama dengan mereka yang berusaha untuk bergerak mendekatiNya?

Dan adakah sesiapa yang lebih tepat janjinya, berbanding Allah? Tiada.

Sungguh, tatkala kita diuji, di masa rasa lemah itu menyapa kita, Allah itu sentiasa ada untuk membantu hamba-hambaNya. Cuma terkadang, kita sahaja yang jarang berusaha untuk mendekatiNya.

Justeru, di saat diri merasa lelah dan tidak mampu,

Kembalikanlah jiwamu kepada Allah.

Sepenuhnya.

Dan jangan ditangguh-tangguhkan lagi. Yup.

Lalu, dariNya kau akan merasakan, kekuatan itu akan kembali hadir, dan mula bercambah di dalam jiwamu.

Dengan izin Allah, semestinya. :)


ps: update blog tiba sedikit lewat dari yang sepatutnya. harap maaf. ada berlaku gangguan internet connection di tempat saya.

ps: tatkala diuji, kita digalakkan menyebut, '"Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun"(sesungguhnya kami milik Allah, dan kepadaNya jualah kami akan dikembalikan). bukan hanya ketika berlakunya kematian, seperti tanggapan sebahagian di antara kita.

7 comments:

Perindu_Ilahi said...

salaam ziarah..terima kasih atas perkongsian ini, moga Allah sentiasa memberi kekuatan dan ketabahan diatas setiap ujian yang diberiNya... ^^

ada masa jemputlah : http://theundoubtedfaith.blogspot.com/2011/01/melakar-warna-cinta-diatas-kanvas.html

aku bukan aku said...

jangan kata tak mampu, andai sendiri tidak pernah mencuba..
*bila kita lihat balik diri, kita lah yg meletakkan limit pada diri..

=)

*ouch*
sgt terasa, pedas juga ya kali ni..

Nur Ilham Impian said...

salam..terima kasih atas perkongsian ini. Smoga segala usaha yg saudara gerakkan menjadi medan dakwah yg diberkati oleh Nya....

ashrafi said...

Mampukah saya.. :'(

Qudsia Aaminah said...

Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan. (AlBaqarah :107)

anon said...

jzzakallahu khair.. nice post akhi..
very inspiring..

Jamal Ali said...

Semoga kita semua mampu, insyaAllah...

p/s: Maaf akh, sudah lama tidak mengomen dii sini... :P