Friday, April 15, 2011

Motivasi: Selepas kesusahan, akan adanya kemudahan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Kepada mereka yang bakal/sedang menghadapi peperiksaan: Semoga berjaya! Ingatlah selepas kesusahan, akan datangnya kemudahan. Selepas penat lelah berusaha, akan datangnya kejayaan. InshaAllah. :)


Saya masih ingat lagi, pada minggu lepas.

Saya ketika itu merasa agak tertekan. Tugasan-tugasan universiti yang melambak, test yang saling ganti-berganti, ditambah dengan tanggungjawab-tanggungjawab lain yang kian bertambah. Jujur saya katakan, ketika itu, masa yang saya ada dirasakan amat-amat sempit.

Bahkan, pernah sekali, saya mendapat ruang untuk bernafas seketika, saya merasakan janggal. Kerana, seperti sudah lama saya tidak merasainya.

Lalu, di petang rabu itu, saya mengambil kesempatan untuk ber'chat'ting dengan ibu di perantauan.

Saya masih ingat lagi bagaimana saya mengadu kepadanya akan bebanan-bebanan di universiti yang semakin bertambah dan kesusahan-kesusahan yang dihadapi.

Kemudian, dia memberikan saya nasihat ringkas. Ya, cukup ringkas.

" Takpe. Lepas susah, mesti ada senang."

Jawapan yang mungkin dianggap typical. Ayat yang barangkali sering kita dengar.

Namun, dari membaca kata-kata itu, saya kembali memperoleh kekuatan.

Alhamdulillah.



Dunia - medan ujian

Satu hakikat yang mesti kita terima, dan perlu kita akui adalah, dunia ini merupakan medan ujian buat kita, manusia.

Sebagaimana seorang pelajar sekolah, akan diuji dengan peperiksaan, pada tiap-tiap akhir tahun.
Sebagaimana seorang pelajar universiti akan diuji dengan final exam, pada tiap-tiap hujung semester.
Sebagaimana seorang pekerja sesebuah syarikat akan diuji, dan dievaluasi pada tiap-tiap tahun bekerja.

Begitu juga, kita sebagai manusia.

Allah telah menetapkan, dunia ini, sebagai medan peperiksaan kita.

Kita akan diuji dan diuji.
Kita akan melalui kesukaran demi kesukaran.
Kita akan ditapis.

Tujuannya;
Allah mahu melihat, siapa di antara kita yang tetap dalam ketaatan, dan siapa pula yang berpaling.
Allah mahu melihat, siapa yang benar-benar beriman (pada janjiNya), dan siapa pula yang hanya pura-pura keimanannya(munafik).

Kita boleh lihat, sebagaimana dalam firmanNya,

" Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun."
[Surah Al-Mulk, 67: 2]

" Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya mengatakan, "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji?
Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta."
[Surah Al-Ankabut, 29: 2-3]

Maka, kita sebagai seorang muslim perlu sedar. Dunia ini adalah medan ujian kita. Tidak dapat tidak, sehari-harian kita, kita pasti akan diuji.

Oleh itu, jangan sekali-kali kita lari daripada ujian. Sebaliknya, hadapi ia dengan KEIMANAN.



Selepas kesusahan, akan adanya kesenangan

Namun, satu perkara yang harus kita yakini, selepas kesusahan yang kita hadapi. Sesudah penat lelah yang kita lalui. Pasti. Di hujungnya ada kemudahan. Pasti. Di akhirnya akan hadir kesenangan.

Janji Allah dalam KalamNya,

" Maka sesungguhnya, bersama kesulitan ada kemudahan.
Sesungguhnya, bersama kesulitan ada kemudahan."
[Surah As-Syarh, 95: 5-6]

Yakinlah dengan janjiNya.

Selepas mendung, pasti akan hadirnya mentari.
Selepas kita bersusah-payah, pasti Allah akan mengkaruniakan jalan keluar buat kita dari kesusahan yang kita hadapi.



Realiti kehidupan

Saya yakin, pasti tiap-tiap di antara kita pernah melalui zaman-zaman ketika hidup dirasakan teramat-amatlah sukar.

Cuba renung-renungkan kembali masa yang lalu. Ada?

Namun, akhirnya, apakah ia berkekalan?

Tidak. Buktinya, dengan izin dari Allah, kita masih di sini.

Hari ini, kita masih lagi dapat melangkah.
Hari ini, Allah masih lagi memberikan kita peluang untuk melihat sinar mentari di pagi hari.

Betul?

Jadi, yakinlah wahai hamba-hamba Allah, kasih sayang Allah itu bukan sekadar retorik(rekaan/palsu) semata.
Percayalah, janji-janji dariNya, pasti akan terlaksana.

Tinggal persoalannya, sejauh mana kita bersyukur kepada Allah, dengan taat melaksanakan segala perintahNya?



Penutup: Kesenangan yang abadi - hanya di syurga

Jika di dunia pun terkadang dirasakan sungguh indah, apatah lagi di syurga nanti?

Satu perkara yang dapat saya pelajari daripada kehidupan ini, bahawa di sini, kita tidak akan pernah mendapat kesenangan abadi.

Ya. Mungkin, semalam kita sudah terlepas dari satu beban yang cukup berat buat kita. Namun, apakah kita boleh pastikan bahawa esok, kita tidak akan terpaksa menempuh kesukaran lagi?

Sudah tentu tidak.

Bahkan, telah menjadi kepastian, dalam melalui liku-liku kehidupan, kita pasti akan melalui kesukaran demi kesukaran.

Lantas, di situ ada tarbiyyah(didikan) dari Allah.

Mengapa kita perlu meletakkan dunia sebagai tujuan, jika nikmat yang dirasakan itu, sudah semestinya tidak berkekalan?

Mengapa kita perlu merasa sedih tatkala diuji dengan hal-hal duniawi, sedangkan kita yakin, pada suatu masa kelak, akan adanya kesenangan yang ABADI?

Mengapa perlu wujud cinta kita terhadap dunia serta perasaan takut untuk menghadapi mati(al-wahn), sedangkan dunia ini hanya sementara cuma?

Ingatlah, kesenangan abadi itu wujud, akan tetapi ia tidak akan pernah hadir 'di sini'.

Allah telah menjanjikan, kesenangan dan kenikmatan yang abadi, buat hamba-hambaNya yang taat di syurga nanti.

Di sana, hamba-hambaNya yang dengan jayanya menempuh ujian dunia, akan mendapatkan segala-gala yang mereka minta.

Di sana, mereka akan mendapatkan, kepuasan yang hakiki.

Lantas wahai hamba-hamba Allah,

Mengapa harus kamu bersedih dengan ujian yang sementara sifatnya?

Selepas kesusahan, akan adanya kemudahan.


Percayalah. :)


" Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan berbuat kebajikan, bahawa untuk mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dari syurga, mereka berkata, 'Inilah rezeki yang diberikan kepada kami dahulu.' Mereka telah diberi (buah-buahan) yang serupa. Dan di sana mereka memperoleh pasangan-pasangan yang suci. Mereka kekal di dalamnya."
[Surah Al-Baqarah, 2: 25]

ps: kepada ibu, terima kasih. :) 

3 comments:

Izzati Hashim said...

bagaimana hendakkan pelangi yang cantik andai tiada hujan yang membasahi bumi kan?

terima kasih atas perkongsian. Bermakna sekali (=

perantau said...

Typing error. (Al-Baqarah)

Anonymous said...

mabruk!