Thursday, June 2, 2011

Perkongsian: Wahai para pendosa! Ketahuilah, sesungguhnya rahmat dan keampunan Allah itu teramatlah luas

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Lagu tema: Pencari JalanMu, dari Afghan.

Dosaku selautan dalam, apakah masih ada harapan untuk aku mendapat pengampunanNya?

Ada sebahagian manusia, yang pernah terjatuh ke lubang dosa. Kemudian, dia dikurniakan kesedaran, lantas kembali insaf.

Malangnya, dalam dia melangkah di atas muka bumi ini, dia terjatuh kembali ke lubang dosa yang sama.

Dia jatuh, lagi, dan lagi.

Yang terkadang, menyebabkan dirinya rasa lemah, dan serba salah. "Apakah keampunan Allah itu masih ada lagi untuknya?"

Dia rasa tidak mampu lagi untuk kembali kepada Allah.

Taubat yang dia lafazkan kepadaNya, sudah seringkali dia mungkiri. Dia sudah terjatuh jauh ke dalam lubang kemaksiatan.

"Apakah masih ada harapan buat aku, untuk kembali pada Allah?" detik hatinya.

Wahai hamba Allah yang telah melampaui batas dirinya sendiri, ketahuilah, bahawa rahmat dan keampunan Allah itu masih ada buatmu.



Setiap dari kita adalah pendosa

Dalam dunia ini, tidak ada seorang manusia pun yang terlepas dari melakukan dosa. Tidak ada seorang pun di antara kita, yang maksum seperti baginda Rasulullah s.a.w.

Seperti satu kata-kata hikmah,
" Every saint has a past, every sinner has a future."

Ya, semua manusia di dalam muka bumi ini pernah melakukan dosa. Namun, di antara pendosa-pendosa itu, siapakah yang terbaik di sisi Allah?

Sebaik-baik pendosa, adalah yang paling segera taubat serta pengembalian kepadaNya.



Jangan berputus asa dari rahmatNya

Bagi seseorang muslim, kita diharamkan untuk berputus asa dari rahmat Allah.

Dalam satu ayat, Allah ada berfirman,

" ... dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang yang kafir."
[Surah Yusuf, 12: 87]

Oleh itu, wahai hamba-hamba Allah, jangan sesekali kau berputus asa kepadaNya.

Biarpun mungkin, dosa yang kau lakukan itu setinggi gunung.
Biarpun mungkin, dosa yang kau perbuat itu seluas laut yang terdampar.
Biarpun mungkin, dosamu itu, lebih besar dari dunia dan segala isinya.

Jangan berputus asa dari rahmat Allah.

Yakinlah, seluas apapun dosa yang anda lakukan, sebesar mana pun ia pada mata anda, pengampunan serta rahmat Allah itu jauh lebih luas daripada dosamu itu.

Ya, percayalah.


Panggilan Allah, kepada kamu wahai orang-orang yang telah melampaui batas


Sungguh, Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya.

Apabila kita kembali kepada Allah dengan sebenar-benar pengembalian, maka pasti, Dia akan menghapuskan dosa-dosa kita, semuanya.

Ya, semuanya. Selagi mana kita tidak melakukan dosa mensyirikkan Allah (meletakkan sekutu bagiNya).

Allah s.w.t. ada berfirman di dalam kitabNya,

“ Katakanlah, 'Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Maha Pengampun, Maha Penyayang.
[Surah Az-Zumar, 39: 53]

SubhanAllah.

Lihatlah sendiri bagaimana Allah memanggil kita, hamba-hambaNya yang berdosa. Cukup indah.

Apakah kita tergamak membalas kasih sayang Allah, dengan terus membiarkan diri makin menjauh dariNya?


Kisah pembunuh 100 orang

Untuk membicarakan, betapa luasnya rahmat serta pengampunan Allah, kepada hamba-hambaNya yang berdosa, suka untuk saya bawakan satu kisah, seorang lelaki yang dalam hidupnya dia telah pun membunuh 100 manusia.

Yup, 100 orang.

Namun, apakah pintu pengampunan dari Allah itu masih terbuka untuknya?

Jom sama-sama kita susuri kisahnya... kisah ini saya ambil dari sebuah hadis muttafaqun 'alaih (riwayat bukhari dan juga muslim).

Al-kisah, ada seorang lelaki di kalangan umat terdahulu telah pun membunuh 99 orang.

Kemudian, lelaki itu berusaha untuk bertaubat atas dosa-dosanya itu. Untuk itu, dia pergi berjumpa dengan seorang pendeta, bertanyakan perihal dosanya - dia telah pun membunuh 99 orang, apakah dia masih diterima untuk bertaubat?

Kata pendeta itu, " Tidak dapat."

Kemudian, pendeta itu turut dibunuh oleh lelaki itu, melengkapkan bilangan manusia yang dia bunuh, genap 100 orang.

Ya, lelaki itu telah mengulangi dosanya lagi.

Namun, setelah itu, apakah lelaki itu dengan mudah berputus asa dari mendapatkan pengampunan Allah?

Mari sama-sama kita lihat.

Selepas membunuh pendeta tadi, lelaki tersebut berusaha lagi dengan berjumpa dengan seorang lagi alim, untuk bertanyakan tentang dosa yang dia lakukan. Kini, dia telah pun membunuh 100 orang, apakah taubatnya masih dapat diterima?

Dan orang alim itu pun berkata, " Ya, masih dapat. Siapa yang dapat menghalang-halanginya dari taubat itu. ...."

Orang alim itu turut mencadangkan lelaki tersebut ke suatu tempat lain, di mana orang-orangnya, menyembah Allah. Sekaligus, lelaki itu perlu meninggalkan tempat tinggalnya sekarang, kerana tempat itu dikatakan 'buruk'.

Lelaki itu pun menuruti saranan orang alim itu. Dan dalam perjalanan dia ke tempat tersebut, dia telah pun menemui ajalnya.

Malaikat kerahmatan dan malaikat keseksaan, bertengkar, memandangkan lelaki tersebut belum sempat bertaubat. Dia masih dalam perjalanan ke tempat untuk dia bertaubat tadi.

Namun, dengan keluasan rahmat Allah, akhirnya, Allah telah menetapkan syurga buat lelaki itu tadi.

Subhanallah.

Lihatlah lelaki itu tadi.

Kesungguhan dirinya, dalam kembali kepada Allah.

Walau seorang pendeta, yang dia berharapkan untuk membantunya, atas kesolehan dan ilmu agamanya, turut mengecewakannya.

Walaupun, dia sekali lagi telah jatuh ke lubang dosa yang sama, membunuh manusia yang ke-100 dalam hidupnya.

Dia tetap tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Terus berharap pada kasih sayangNya.

Dan, lihatlah juga betapa luasnya kasih sayang dan pengampunan Allah melalui kisah itu.

Kita seharusnya berasa malu untuk terus bergelumang dengan dosa, apabila kita memerhatikan, betapa banyak nikmat dan rezeki yang terus-menerus Dia kurniakan buat kita. Sedangkan, kita sering sahaja melupakannya, bahkan menggunakan nikmat yang Dia beri tadi, untuk melakukan kemaksiatan.

Astagfirullah.

Saya malu.

Anda?


Penutup: Pintu taubat itu masih terbuka


Jom kita kembali pada Allah. Pintu keampunanNya, sentiasa terbuka untuk kita. . .


Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,


"... Demi Allah, nescayalah Allah itu lebih gembira kepada taubatnya seseorang hambaNya daripada seseorang di antara engkau semua yang menemukan sesuatu bendanya yang telah hilang di padang yang luas. ..."
(Muttafaq 'alaih)

Subhanallah, betapa Allah itu suka jika hamba-hambaNya datang kepadaNya dengan kerendahan hati, dan kemahuan untuk bertaubat.

Jadi, mari sama-sama kita memohon keampunan kepada Allah, atas segala dosa yang pernah kita lakukan.

Biar seluas mana pun dosa yang telah kita lakukan, biar pun mungkin berkali-kali kita telah memungkiri taubat kita kepada Allah, jangan pernah sesekali kita berputus harap pada rahmatNya.

Allah masih tetap sayangkan kita.

Dia mahu kita kembali kepadaNya.

Buktinya?

Perhatikan diri kita.


Jantung kita masih lagi diizinkanNya untuk berdegup.
Paru-paru kita, masih lagi diizinkanNya untuk berfungsi.
Anggota badan, masih lagi Allah izinkan ia untuk bergerak.

Apakah itu semua masih tidak jelas lagi di mata kita?


Ya, Allah sayangkan kita, oleh kerana itu, kita masih Dia berikan peluang untuk hidup.

Atas kasih sayangNya, Dia masih lagi memberi kita peluang untuk bertaubat, sebelum terlambat.

Tinggal, apakah kita akan membalas kasih sayangNya tadi, dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk meninggalkan maksiat dari dalam diri kita?

Ataupun, kita akan terus dan terus melakukan dosa kepadaNya, atas alasan, Allah akan mengampunkan dosa semuanya?



ps: maaf, lama tidak update. sekarang, saya sedang dalam proses untuk adapt dengan jadual baru (jadual kehidupan). doa-doakan, mudah-mudahan Allah permudah segalanya.

ps: dari hadis 'lelaki pembunuh 100 orang' tadi, kita juga dapat mengambil pengajaran, betapa pentingnya untuk kita 'usahakan', untuk berada dalam lingkungan sahabat-sahabat yang baik dan mengajak kepada kebaikan, dalam kita melakukan perubahan untuk mendekatkan diri kepadaNya.

ps: jangan tangguh-tangguh dalam bertaubat, kerana kita tidak tahu, sampai bila Allah memberikan kita peluang untuk melakukannya (tak tahu bila kita akan mati). peringatan untuk diri saya, terutamanya.

No comments: