Saturday, July 16, 2011

Perkongsian: Meraih momentum untuk Ramadhan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.



Today marks the mid of Syaaban.

Sama kita sedari atau tidak, Ramadhan kian menghampiri kita dengan begitu pantas sekali.

Tinggal 14 hari sahaja lagi.

Percayalah, tak lama lagi, kita sedar-sedar,

" Oh, esok kita sudah kena berpuasa."

Lantas, sebagai orang mukmin, kita seharusnya tidak bertangguh-tangguh lagi untuk menghadapi Ramadhan. Ramadhan yang bakal hadir, perlu kita raikan dengan persiapan-persiapan yang kemas dan lengkap sebelum Ramadhan.

Baik... jadi sebelum saya memasuki topik.

Cuba kita tanya diri masing-masing,

Agak-agaknya, sudahkah kita membuat persediaan yang cantik untuk menyambut Ramadhan kali ini?

Bulan kecintaan

Jika kita merasakan persediaan yang dilakukan belum cukup cantik. Ayuh, jangan bertangguh-tangguh lagi untuk membuat persiapan. Masa tidak akan menunggu kamu.

Bulan Ramadhan ini, hadirnya penuh barakah. Amat rugi sekali jika mahu dipersiakan begitu sahaja. Ramadhan boleh juga kita sebut sebagai "Bulan Kecintaan" bagi orang-orang mukmin. Pelbagai ganjaran, pengampunan, dan segala macam extra gift yang ditawarkan dalam bulan ini menjadikan Ramadhan itu sebagai suatu bulan yang cukup istimewa.

Sebab itu, jika dahulu, para sahabat ternanti-nanti akan kehadiran bulan Ramadhan ini.

Bagaimana pula kita? Juga sudah tidak sabar-sabar untuk menghadapi Ramadhan?

Jika ya, ayuh!

Mari sama-sama kita buktikan ia.. dengan  persiapan-persiapan yang cantik untuk menghadapinya.

Jom kita 'warm-up' terlebih dahulu!

Fadhilat-fadhilat serta persiapan

" Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan."
(HR Bukhari dan Muslim)

Terdapat banyak fadhilat-fadhilat(kelebihan-kelebihan) yang boleh didapati dalam bulan Ramadhan. Maka di sini, saya ingin nyatakan beberapa darinya, agar ia mudah-mudahan, dapat meningkatkan himmah(semangat) kita dalam menyambutnya. Moga kita lebih termotivasi.

Dan daripada fadhilat-fadhilat itu, kita juga akan dapat sama-sama melihat, beberapa persiapan yang kita boleh lakukan untuk menghadapi Ramadhan.

Antaranya;

1. Puasa


Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkanlah untuk dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih)

Dari Abu Said r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tiada seorang hambapun yang berpuasa sehari dengan niat fisabilillah(semata-mata menuju kepada ketaatan kepada Allah), melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya (yakni, dirinya) kerana puasanya tadi, sejauh perjalanan tujuh puluh tahun dari neraka." (Muttafaq 'alaih)

Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Orang yang berpuasa itu meninggalkan makan, minum dan syahwatnya karena taat pada perintahKu. Puasa adalah untukKu dan Aku akan memberikan balasannya, sedang sesuatu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipat gandanya." (HR Bukhari)


Subhanallah. Dan banyak lagi hadis-hadis yang kuat(boleh dijadikan hujjah) yang lain, turut memberi galakan untuk kita berpuasa dengan sebaik-baiknya serta diniatkan semata-mata hanya kerana Allah. Bahkan dalam satu hadis lain, dinyatakan bahawa orang yang berpuasa itu akan mendapat 2 jenis kegembiraan - pertama, ketika ia sedang berbuka, dan kedua, kegembiraan tatkala dia menemui Tuhannya.

Subhanallah.

Siapa yang tak nak, dapat keseronokan berjumpa dengan Allah?

Bukankah itu salah satu cita-cita yang diimpikan oleh tiap-tiap orang mukmin?

Maka, dengan berpuasa, ia juga merupakan satu usaha jelas untuk kita mencapai kebahagiaan di akhirat. Jadi, dalam kita menghampiri Ramadhan, latih-latih diri untuk biasa berpuasa. Sudah pasti, bagi siapa yang sudah lama tidak berpuasa, hari pertama ia berpuasa, ia akan merasa keletihan yang amat (sebab badan belum biasa dengan perubahan).

Justeru, biasakan diri dahulu berpuasa di bulan-bulan sebelum Ramadhan. Saya pasti kebanyakan di antara kita tahu, puasa bulan Syaaban adalah antara amalan-amalan sunnah yang digalakkan. Dikatakan dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. tidak pernah puasa dengan bilangan hari yang cukup banyak, di bulan-bulan lain selain Ramadhan, melainkan di bulan Syaaban.

Jadi, mari sama-sama kita ambil kesempatan dan peluang ini untuk berpuasa sunat. Tidak dilupakan, latih diri juga, untuk bangun sahur ketika berpuasa. Jika ada yang mahu tingkatkan stamina dan fitness dengan memperbanyakkan bersukan dan beriadah, juga tidak pelik, bahkan digalakkan. :)

Targetnya, tatkala Ramadhan sampai nanti, kita sudah tidak 'terbeban' dengan tuntutan puasa. Ketika berpuasa, badan kita tidak lagi merasa lemah dan tidak bermaya, sebaliknya kita dapat hidupkan puasa kita dengan lebih semangat lagi. Ayuh!

Bukankah kita tidak mahu, masa-masa kita di dalam bulan Ramadhan ini terbazir dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat seperti tidur, atau sekadar berehat sahaja?

*hadis yang mengatakan tidur ketika berpuasa akan diganjari pahala adalah hadis yang tidak kuat(dhoif).

2. Al-Qur'an

Firman Allah s.w.t:
" Bulan Ramadan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur'an, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Kerena itu, barang siapa di antara kamu hadir ada di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa. ..." [Surah Al-Baqarah, 2: 185]

Salah satu perkara-perkara yang membuatkan bulan Ramadhan itu istimewa, adalah kerana, pada bulan Ramadhan diturunkan permulaan kitab Al-Qur'an.

Makanya, sebagai umat Islam, kita amat digalakkan untuk menghidupkan tadarus Al-Qur'an ketika di bulan Ramadhan. Gunakan sela-sela masa yang ada, untuk selalu berdamping dengan Al-Qur'an. Jangan biarkan masa kita terbazir dengan perkara yang sia-sia.

Dalam bulan Ramadhan, ramai juga yang suka meletakkan target untuk berjaya mengkhatam satu Al-Qur'an (dari surah pertama), dalam tempoh itu. Ia merupakan satu target yang amat bagus. Dan ia semestinya tidak mustahil untuk kita laksanakan. Yup, percayalah bahawa anda mampu. :)

Jadi, seharusnya, kita mulakan 'latihan' tadarus Al-Qur'an kita dari hari ini lagi.

Tingkatkan bacaan Al-Qur'an, dari hari ke hari. Sekali-sekala, cuba capai target minima, sehari satu juz (30 hari = 30 juz). Tingkatkan juga kemanisan ketika membacanya, dengan mentadabbur(menghayati) maknanya sekali.

Mudah-mudahan, bermula dari bulan penurunan Kalam Allah ini, hati kita akan terus-terusan berinteraksi dengan ayat-ayatNya. InshaAllah.

*ramadhan kali ini, berkemungkinan hanya selama 29 hari sahaja. 1 hari > 1 juz.

3. Solat sunat serta qiyamullail

Dari Abu Hurairah r.a., katanya:
Rasulullah s.a.w. itu menganjur-anjurkan supaya senang mengerjakan solat (pada malamnya) di bulan Ramadhan, tanpa menyuruh orang-orang itu dengan kekerasan (yakni tidak wajib).
Beliau s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa berdiri bersembahyang dalam bulan Ramadhan kerana didorong keimanan dan keinginan memperoleh keredhaan Allah, maka diampunkanlah untuknya dosa-dosanya yang terdahulu." (HR Muslim)

Saya yakin, semua di antara kita sedar akan kelebihan-kelebihan yang ada melalui solat malam (terawih) di bulan Ramadhan. Jadi, sebagai persiapan diri sejak dari sebelum Ramadhan lagi, kita seharusnya sudah melatih diri kita untuk memperbanyakkan solat sunat.

Jika belum menjadi kebiasaan, latih membiasakan diri melakukan solat sunat rawatib (solat sunat baqdiah dan qobliah). Mulakan dengan solat-solat sunat muakkad terlebih dahulu, yakni - solat sunat sebelum subuh, solat sunat sebelum & selepas zohor, solat sunat selepas maghrib, dan solat sunat selepas isyak. Ini antara solat-solat sunat yang amat ditekankan oleh baginda nabi s.a.w. Dan kemudian, boleh juga ditambah dengan solat-solat sunat yang lain.

Dan jangan lupa untuk melatih diri kita untuk berqiyamullail(bangun malam). Ini saya kira lebih utama.

Mungkin, sebagai permulaan, kita boleh amalkan dengan bangun sedikit awal sebelum azan subuh, dan mengerjakan solat sunat tahajjud dua rakaat. Baik juga, jika ditambah dengan solat witir satu rakaat.

Untuk fasa ini, bilangan rakaat bukan perkara utama. Sebaliknya, konsistensi kita, untuk bangun pada tiap-tiap malam, itu yang seharusnya lebih dititik beratkan.

Saya kira, dengan melatih diri berqiyamullail ini, kita bukan sahaja dapat mengaut sebanyak mungkin ganjaran serta keredhaan Allah dari solat malam, malah, kita juga telah menyediakan diri kita dengan persiapan yang baik, untuk mendapatkan kelebihan Malam Al-Qadr (Lailatul Qadr).

Suatu malam, yang lebih baik dari seribu bulan.

Siapa-siapa pasti mahukannya bukan?

Jadi, sekali lagi. Ayuh kita buktikan kemahuan kita, dengan persiapan yang penuh sungguh-sungguh.


Penutup: Mari kita jadikan Ramadhan kali ini, Ramadhan yang bermakna buat kita



Kadang, terdetik di hati kita untuk berubah menjadi lebih baik. Tetapi, mungkin, sampai hari ini kita masih belum berjaya.

Maka, ambillah Ramadhan kali ini, sebagai noktah bidayah kita.

Kerana jika ada sesiapa yang bertanya kepada saya, bilakah masa yang terbaik untuk melakukan perubahan?

Maka, jawapan saya, semestinya di bulan Ramadhan.

Kerana dalam bulan Ramadhan, pengampunan Allah terbuka luas. Keberkatan serta ganjaran pahala yang disediakan juga, mampu untuk memberi daya tolakan yang tinggi, untuk kita bersungguh-sungguh dalam beramal ibadat. Dan yang lebih utama, bi'ah(suasana) yang wujud lebih soleh jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

Suasana berpuasa ketika bersama keluarga dan rakan-rakan, bersama-sama merasakan kemanisan berbuka puasa, peningkatan bilangan orang yang hadir ke masjid untuk bertarawih dan qiyamullail, kuliah-kuliah agama yang bertambah kerap, juga syaitan-syaitan turut diikat, dengan izin Allah, pasti akan memberikan kita satu suasana yang lebih baik untuk kita berubah.

Justeru, ayuh kita jadikan bulan Ramadhan kali ini, suatu bulan yang bermakna buat diri kita.

Pandanglah ia, sebagai suatu medan pertingkatkan diri, menjadi hamba-Nya yang lebih baik dalam segenap segi.

Ayuh!

Dan persiapan diri itu seharusnya bermula  dari sekarang.

Kerana, yang jelas, siapa yang telah mempersiapkan diri mereka untuk Ramadhan lebih awal, maka, kebarangkalian untuk dia terus istiqamah dalam melakukan amal-amal ibadat tadi selepas tamatnya bulan Ramadhan, sudah pastinya lebih tinggi.

Menjadikan Ramadhan kali ini, suatu bulan penganjakan diri kita ke suatu tahap yang lebih tinggi di sisi-Nya, dalam erti kata yang sebenar.

InshaAllah.



ps: ramadhan approaching fast.. the question is, are we ready?

ps: rasa lambat pula menulis artikel tentang ramadhan. sudah lama mahu untuk menulis, tetapi seringkali niat terpaksa ditangguh-tangguh, atas urusan-urusan yang lain. harap ia masih belum terlalu lewat.

ps: malam ini, malam nisfu syaaban. kalau nak tahu fadhilat-fadhilatnya, boleh baca artikel ini [klik].

ps: saya yang menulis ini juga, persediaan untuk Ramadhan masih compang-camping lagi. menulis, dalam rangka mengingatkan diri sendiri terutamanya.

2 comments:

Amin Baek said...

Ya Allah..aku menantikan Ramadhan ini.Moga keampunanMu yang ku peroleh.Amin~

Anonymous said...

sangat menarik, terima kasih