Tuesday, August 16, 2011

Perkongsian: Muhasabah Ramadhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Andai ku tahu ini Ramadhanku yang terakhir. . .
~pic by fc05 of deviantart

Malam itu sepi. Angin semilir mengalus-alus lembut mukaku, menyapa sanubari. Bulan mengambang penuh, memberi petanda, separuh masa pertama Ramadhan telah melabuhkan tirainya. (nak berpuitis sikit.. hehe)

Masa terasa berlalu begitu pantas. Sama ada kita hayati atau tidak, kita telah pun masuk fasa separuh masa kedua Ramadhan.

Bagaimana dengan hari-hari Ramadhan kita yang telah berlalu?

Sudahkah kita isinya dengan sebaiknya?

Mari sama-sama kita memuhasabah diri sejenak. Perhatikan apa yang telah kita lakukan dalam 15 hari Ramadhan yang telah berlalu. Ramadhan itu hakikatnya hadiah. 29 atau 30 hari yang sedang kita jalani ini merupakan satu pemberian dariNya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang beriman, Ramadhan ini adalah satu nikmat yang besar. Ia perlu dihayati, perlu dirasai.

Justeru, sudahkah kita 'lakukan' syukur akan nikmat yang diperolehi ini?

Dan cukupkah syukur yang telah kita laksanakan?

Mari sama-sama kita introspeksi diri.

Pejam mata anda.

Fikirkan, apa yang telah anda lakukan pada hari-hari Ramadhan yang lepas. Dan kemudian, bagaimana pula perancangan anda bagi menggunakan hari-hari Ramadhan yang berbaki.

Pejam mata anda.. Pejam..

Pejam.

Mari muhasabah.

1..  2..  3..  4..  5.. 6.. 7.. 8.. 9..  10..

11.. 12.. 13.. 14.. 15.. 16.. 17.. 18.. 19.. 20


Bagaimana, ada mendapat inspirasi?

Masih ada tak ruang-ruang yang boleh diperbaiki?

Sudah nampak dengan JELAS, bagaimana diri mahu merebut peluang hari-hari Ramadhan yang berbaki?



Tiga Golongan

Jika dilihat secara mudah, kita dapat bahagikan kepada 3 jenis golongan manusia, akan bagaimana mereka mengharungi Bulan Ramadhan ini.

Di manakah kita?

Mari sama-sama kita lihat.


1. Golongan pertama = Golongan 'Adat'

Majoriti masyarakat kita boleh dikatakan berada dalam lingkungan ini. Bagaimana jika kita perhatikan, masjid-masjid yang pada awal Ramadhannya penuh, sehingga hampir melimpah ruah, semakin lama, semakin sepi berkurangan orang. Di situ kita dapat melihat dengan jelas golongan pertama ini. Ramadhan hanya ternampak sebagai adat bagi mereka.

Ketika orang puasa, mereka pun turut sama puasa. (mungkin aurat masih belum sempurna ditutup, sedangkan tutup aurat dengan sempurna pun wajib, sama seperti puasa!)
Ketika orang mem'borong' di Bazir Ramadhan, mereka pun turut sama memborong.
Ketika orang bertarawih, mereka turut bertarawih.
Dan apabila orang ramai mula masuk 'mood' raya, mereka turut sama melayani mood raya.

Sikap-sikap mereka inilah yang kemudiannya bakal menghasilkan masjid-masjid yang mula kelihatan lengang dan sepi, sejajar dengan hari-hari Ramadhan yang kian habis. Bahkan mungkin, kesepian masjid itu akan di'imarah'kan pula dengan bunyi-bunyian mercun dan meriam api.

Inilah golongan adat. Gologan yang menganggap ibadah hanya sekadar ikut-ikutan atau adat. Adakah kita tergolong di dalamnya?


2. Golongan kedua = Golongan 'Rutin'

Terdapat juga manusia yang akan berada dalam golongan kedua ini, yakni golongan rutin. Bagi mereka pula, prestasi ibadah mereka pada bulan Ramadhan daripada awal, pertengahan, dan sehingga menuju ke akhirnya maintain. Mereka istiqamah. Alhamdulillah.

Cumanya, ibadat yang mereka laksanakan sudah dijadikan rutin. Tiada penurunan dari segi prestasi, dan juga tiada peningkatan, baik dari segi kualiti dan kuantiti. Zuq (penghayatan) mereka juga kurang, atas sebab ibadat yang mereka lakukan hanyalah atas sebab memenuhi rutin seharian mereka. Kurang khusyu'.

Malah, salah satu kerugian besar lain bagi golongan ini adalah mereka tidak mengambil kesempatan 10 malam terakhir yang bakal menjelang dengan sebaiknya. Prestasi mereka tidak berubah.

Sememangnya golongan ini jauh lebih baik daripada golongan pertama, tidak dapat dinafikan. Namun mereka ini masih dianggap rugi, kerana kesempatan Ramadhan yang ada tidak mereka pergunakan dengan sepenuhnya.

Inilah golongan rutin, golongan ini mewakili golongan kedua terbesar di kalangan masyarakat kita. Ibadah telah dianggap sebagai rutin harian mereka sahaja.

Adakah ciri-ciri golongan rutin ini ada pada kita?


3. Golongan ketiga = Golongan 'Ghuraba'

Dan akhir sekali, golongan ketiga, golongan dagang/pelik, atau sebagaimana dalam hadis Nabi disebut sebagai ghuraba'. Kenapa mereka dikatakan pelik?

Mereka inilah golongan yang akan menghidupkan masjid, di saat ramai orang ramai sibuk bersiap-siap untuk raya.

Mereka inilah golongan yang khusyu' dan larut dalam bacaan kalamullah, di kala masyarakat sedang asyik mendengdangkan lagu raya yang bakal menjelang tiba.

Mereka inilah golongan yang tetap bersengkang mata demi menghidupkan malam-malan Ramadhan, di ketika manusia yang lain sedang asyik dibuai lena.

Momentum ibadah mereka ini tidak menurun, bahkan meningkat. Bangun malam (qiamullail) mereka semakin konsisten apabila fasa terakhir Ramadhan makin menghampir. Mereka mahu memastikan tidak ada satu malam pun dari malam-malam sepuluh terakhir yang tidak mereka hidupkan dengan khusyu' dan sebaiknya, kerana dikhuatiri andai malam yang tertinggal itulah 'Lailatul Qadr'. Suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Jika tidak, mereka akan merasakan kerugian yang teramat.

Mereka inilah golongan ghuraba'! Golongan yang dianggap pelik, dan menentang arus semasa masyarakat kita. Dan sesungguhnya golongan 'ghuraba' inilah golongan yang beruntung.

Bagaimana? Adakah kita layak untuk tergolong dalam golongan ini?

Mari sama-sama kita muhasabah. Dan bertindak dengan menggunakan Ramadhan yang berbaki ini dengan sebaik-baiknya.



Penutup: Andai ini Ramadhanku yang terakhir. . .

Kita tidak tahu sama ada kita masih diketemukan semula dengan Ramadhan pada tahun akan datang atau tidak. Ya, kita memang tidak tahu. Hari-hari esok masih tiada yang pasti bagi kita. Justeru itu, ayuh kita mempergunakan saki-baki Ramadhan yang ada dengan sepenuhnya.

Bahkan, kita turut digalakkan untuk mencari malam 'Laitul Qadr' di 10 malam Ramadhan yang terakhir nanti.

Satu malam yang lebih baik dari seribu bulan (83 tahun ++) !!! Tidakkah kita mahu merebutnya?

Dan mengikut apa yang dicontohkan Nabi Muhammad s.a.w., malam-malam sepuluh terakhir ini, baginda mempergiatkan lagi ibadah-ibadah yang baginda lakukan. Rasulullah s.a.w. menghidupkan malam-malamnya dengan lebih bersungguh-sungguh.

Dalam sebuah hadis...

Dari Aisyah  radhiallahu  'anha, katanya,
" Rasulullah  s.a.w.  itu  apabila telah masuk  sepuluh  hari  yang terakhir dari  bulan Ramadhan, maka  beliau menghidup-hidupkan  malamnya  (yakni  melakukan  ibadat pada  malam harinya  itu),  juga  membangunkan  isterinyabersungguh-sungguh dalam ibadat dan mengeraskan  ikat pinggangnya (maksudnya adalah  sebagai kata kinayah (kiasan) menjauhi berkumpul dengan isterinya.)"
[Muttafaq 'alaih]

Dalam hadis lain pula, dari Aisyah  radhiallahu  'anha,  katanya,
" Rasulullah  s.a.w.  itu bersungguh-sungguh  dalam  beribadat  dalam  bulan  Ramadhan  yang  tidak demikian bersungguh-sungguhnya  kalau  dibandingkan  dengan  bulan lainnya,  juga  di dalam  sepuluh  hari  terakhir dari  bulan Ramadhan  itu  beliau s.a.w.  bersungguh-sungguh  pula  yang  tidak  demikian  bersungguh-sungguhnya kalau dibandingkan  dengan hari-hari Ramadhan yang lainnya."
[Riwayat Muslim]

Jom, jom. Tingkatkan ibadah, tingkatkan amalan. Jom!

Dan andaikata ini Ramadhan terakhir buat kita, biarlah hari-hari yang kita lalui di dalamnya ini penuh terisi, penuh bermakna.

ps: suka satu quote ini, "do not count the days of Ramadhan, but make each day of Ramadhan counts!" :)
ps: post ini ditulis pada Ramadhan yang lepas, dan dinaikkan kembali untuk tujuan penyebaran. ada sedikit pengeditan dilakukan, untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. moga-moga Allah redha.

~hargai kehidupan, sedari tujuan, realisasi impian~

9 comments:

Amin Baek said...

salam akh...

ingin menjadi golongan ghuraba' itu..

ayuh sama sama berusaha..huhu..kejap je rasa masa berjalan..

Slave of Almighty said...

Amin Baek,

Wslm w.b.t.

Ayuh!
Huhu.. Btul3, rsa kejap sgt msa berjalan..

Moga-moga kita terpilih untuk mendapatkan malam Al-Qadr itu.. aminn

ashrafi said...

Bersama kita berusaha.. Insha ALLAH

Luqman Al- Hakim Bin Foaad said...

assalam.
insyaallah nak jd golongan ke-3.
insyaallah boleh..
andai ini Ramadhan terakhir ku.
sungguh menyesal x buat yg sebaik2nya..

amy.my said...

Salam...

Memang susah nak jadi golongan yg ke-3 itu,tapi tetap akan di usahakan kerana itulah yang sebaik-baiknya dan dituntut di sisi Allah.

Andai ini Ramadhan terakhir, ayat ini memang selalu terlintas dalam kotak fikiran ini.Moga Allah sentiasa memberi hidayah pada kita semua .InsyAllah (",)...

Slave of Almighty said...

ashrafi,

inshaAllah...

Slave of Almighty said...

Akim,

Wslm w.b.t.

InshaAllah, kita boleh..

Betul2.. Rugi klu xbuat sebaik2nya dalam kesempatan Ramadhan kali ini

Slave of Almighty said...

amy.my,

Wslm w.b.t.

Aminn.. InshaAllah

nusrah said...

Allahu akbar..sangat2 rasa terpukul.
Nafsu oh nafsu!
jazakillah berkongsi, moga Allah terus mempermudahkan urusan ibadah.