Sunday, July 5, 2015

Buat Sang Pendosa

Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang, Maha Pengasih.


Dosa.

Satu perkara yang tidak dapat tidak akan terkait dengan manusia dan kehidupannya.

Satu benda yang menghantui seseorang mukmin yang sentiasa berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah.

Satu noda yang mengotori hati, tapi jika kita sikapi ia dengan sebaiknya, bahkan mungkin sebaliknya dapat mendekatkan kita pada Sang Pencipta.

Benar. Bukankah manusia itu tidak terlepas dari melakukan dosa?

Tapi itu bukan alasan untuk kita terus berdosa. Hakikatnya, yang membezakan manusia antara satu dengan yang lain adalah bagaimana dia menyikapinya.

Bagaimana anda menyikapi dosa?

Treat a sin as how it is. Don't treat them bigger than it is, that you feel it cannot be pardoned. Nor smaller than it is, by thinking the sin is insignificant.

Kesilapan. Dosa. Lantas menimbulkan kesesalan dalam hati.

Satu kaedah yang saya suka amalkan apabila berdepan dengan kesilapan dan dosa. Tatkala saya dihantui dengan perasaan kesal, rasa bersalah dan juga sedih atas kesilapan yang telah saya lakukan, saya cuba fikir, sekarang ini, tindakan apa yang terbaik yang boleh saya lakukan?

Ya, kesilapan kita mungkin telah membawa kesan negatif yang banyak.

Ya, dosa-dosa kita, mungkin besarnya itu kita juga malu memikirkan, bagaimana kita boleh lalai dan tergamak melakukan maksiat itu kepada Allah.

Ya, benda yang terjadi mungkin atas kecuaian kita. Lantas kesannya mungkin sangat besar, sehinggakan orang lain juga terpalit sama.

Namun sedarilah, itu semuanya sudah berlalu. Kau tak akan mampu mengubahnya lagi. Lantas, apakah tindakan terbaik untuk kau lakukan sementara ini?

Jangan terlalu menghukum diri, kerana pastinya, kita hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas dari kesilapan.

Apa yang kita perlu sedari adalah nikmat hidup yang Allah masih kurniakan itu adalah petanda positif buat kita.

Dia masih membuka pintu taubat-Nya buat kita, lantas untuk apa kita terbelenggu dengan dosa lama.

Maka, segeralah kita kembali pada kesedaran dan berbuatlah apa yang terbaik yang mampu kita lakukan, untuk menutupi kesilapan-kesilapan kita yang lalu.

Ianya adalah dari sifat golongan muttaqin, untuk segera bertaubat dan kembali pada Allah setelah melakukan dosa. Sedang, hamba itu tadi berusaha tidak mengulanginya lagi serta berusaha memperbaiki diri.

Surah Ali Imran, ayat 135, Allah menyebut,

" Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan, sedang mereka mengetahui." (Al-Quran, 3: 135)

Ini adalah antara sifat-sifat orang yang bertakwa dalam menyikapi dosa mereka.

Ya, mereka tidak maksum. Juga melakukan dosa.

Namun, sikap mereka selepas mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan itulah yang Allah puji. Bahkan atas sikap mereka itu jualah, Allah menjanjikan syurga buat mereka.

Ayat Quran selepasnya, Surah Ali Imran, ayat 136, Allah menyatakan,

" Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang yang beramal." (Al-Quran, 3: 136)

Subhanallah. Tidak termotivasikah kita?


Ayuh, kita kembali kepada-Nya


Saya percaya kita semua tahu atau pernah terdengar akan kisah-kisah pendosa, yang akhirnya mendapat pengampunan dari Allah.

Hadis berkenaan pembunuh, yang telah melengkapkan angka mangsa pembunuhannya kepada 100 orang, tetapi akhirnya diberi pengampunan oleh Allah serta dikurniakan syurga buatnya.

Hadis berkenaan pelacur yang memberi minum kepada anjing yang kehausan. Lantas, Allah mengampuni dosa-dosanya?

Pasti kita pernah mendengarnya bukan?

Maka kisah-kisah ini menyedarkan kita, seteruk mana atau segelap mana masa silam kita, sinar untuk kita kembali pada Allah itu sentiasa ada.

Sebesar atau seluas mana dosa yang kita telah laksanakan, kita tahu, rahmat serta pengampunan Allah itu bahkan jauh lebih besar lagi.

Maka, apa lagi yang menjadi penghalang untuk kita kembali pada-Nya?

Apa lagi yang menangguhkan kita untuk kembali pada Allah dan memohon taubat atas dosa-dosa yang kita telah lakukan?

Sekarang, semuanya terletak pada sikap dan tindakan kita seterusnya.

Pintu taubat Allah itu sentiasa terbuka buat hamba-hambaNya (selagi bernyawa).

Cuma, sudahkah kita berusaha menggapainya?


p/s: Jom amalkan doa ini, terutamanya dalam kita memasuki sepuluh malam terakhir Ramadhan. Dalam kita menjejak pengampunan dan syurga dari-Nya.

Dari ‘Aisyah r.a., dia berkata, “Aku pernah bertanya pada Rasulullah s.a.w., iaitu jika saja ada suatu hari yang aku tahu bahwa malam tersebut adalah lailatul qadar, lantas apa do’a yang mesti kuucapkan?” Jawab Rasulullah s.a.w., “Berdoalah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni (Maksudnya: Ya Allah, Engkau Maha Pemaaf dan Engkau mencintai orang yang meminta maaf, oleh itu maafkanlah aku).” (HR. Tirmidzi) 

1 comment:

Iffa Asma said...

Alhamdulillah..thanks for sharing..sangat2 bermanfaat : )