Sunday, September 18, 2016

Kehidupan suatu perlumbaan?

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang



Dahulu,
Aku melihat dunia ini sebagai suatu perlumbaan
Perlumbaan siapa yang paling cepat mencapai 'kejayaan' dalam kehidupan

Namun aku alpa,
Kejayaan itu harusnya diukur dengan apa?
Pada materialkah? Berapa banyak rumah yang dimiliki? Atau berapa banyak RM di dalam akaun bank?
Atau mungkin pada kerjaya? Gahnya menjadi seorang jurutera, doktor atau menteri?

Benarkah itu tanda-tanda seseorang itu berjaya?

Dari kefahaman itulah, aku di sekolah dulu sering mengejar kejayaan akademik
Mahu sentiasa berada dalam kelompok pelajar-pelajar teratas
Dan ini berterusan hingga ke universiti
Walaupun aku sedikit larut dan tidak skor melangit
Aku genggam segulung ijazah dengan prestasi yang memuaskan
Habis belajar, terus mencari-cari kerja
Tak mahu ketinggalan dengan rakan-rakan
Tidak lama untuk aku mendapatkan pekerjaan pertama
Tempat kerja yang baik dan masa depanku kelihatan cerah!

Sesuatu menimpa
Yang membuatku terduduk dan hampir-hampir sahaja mengalah
Rupanya, pada pengalaman itu ada hikmah

Dewasa ini, aku mula mengerti
Kehidupan jauh sekali daripada suatu perlumbaan
Ini kerana setiap manusia diberikan laluan yang berbeza oleh Allah
Kita bermula pada titik yang berlainan
Halangan dan pusingan berbeza-beza
Jalan yang harus ditempuh pun tak serupa
Takdir dan ketentuan juga tidak sama
Maka bagaimana boleh kehidupan dipanggil suatu perlumbaan!?

Bahkan, setiap orang punya impian dan cita-cita yang berbeza
Nilai kejayaan pada mata seseorang itu, mungkin tak sama dengan kehendak dan impian seorang lagi
Manusia nilai erti kehidupan itu berlainan

Maka begitulah kehidupan

Tidak perlu untuk kau pandang rendah sesiapa saja yang kurang berjaya di matamu
Tidak perlu untuk kau merasa rendah diri pada orang yang kelihatan sudah berada jauh di hadapanmu
Jangan dibanding-banding kehidupanmu dengan kehidupan orang lain

Kerana
Allah kurniakan kau sesuatu perjalanan yang unik
Jalan kehidupan yang kau lalui takkan pernah sama dengan satu orang pun yang lain
Ujian-ujian dan halangan-halangan yang kau tempuh, adalah dari Allah khas buatmu
Dan Allah tahu kau mampu melaluinya
Jika tidak, ia tidak akan terjatuh pada laluan hidupmu

Genggam pesan ku erat
Apa yang penting kau harus lakukan yang terbaik
Di saat manapun ujian yang mendatang
Atau pada apa sahaja ranjau yang sedang kau tempuh
Kalaupun terjatuh
Jangan mudah lemah dan mengalah
Bangkit segera
Dan teruslah melangkah

Hidup ini singkat
Melalui ranjau-ranjau kehidupan, aku melihat kehidupan dengan lensa yang lebih jelas

Hidup ini bererti jika kita memberi
Pentas dunia ini tidak lain melainkan ujian
Buat kau, aku dan juga mereka

Seperti kata-kata Champ Ali
Apa yang kekal adalah apa yang kau buat untuk Tuhan

Kerana itu memberilah sebanyak-banyaknya kerana Dia
Saling menasihati kepada kebaikan
Serta saling menasihati kepada kesabaran
Agar kita semua dapat melalui ranjau dunia ini dengan berjayanya
Dan akhirnya bersama-sama menikmati kejayaan hakiki di syurga nanti!

InsyaAllah.
Itu impianku.

Hidup bukan suatu perlumbaan
Jika mahu berlumba, maka berlumbalah pada siapa yang lebih memberi.

MF
16|09|18

p/s: fuuhh.. dah lama sgt tak mengarang sajak ni. harap masih ada rupa sajak.. :P

No comments: