Tuesday, December 7, 2010

Perkongsian: Hijrah = Anjakan Paradigma

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Paradigm_by_emeyer
Siapakah yang menggerakkan dirinya untuk perubahan ke arah yang lebih baik?
~pic by emeyer of deviantart

Ha. 1 Muharram sudah menjelma.

Sudah semestinya, di tarikh ini, suatu peristiwa yang cukup istimewa itu disebut-sebut.

H I J R A H

Suatu titik tolak perkembangan Islam secara lebih meluas.
Salah satu batu bata asas, pembinaan negara pertama Islam di Madinah.
Satu titik jelas, kebangkitan ummat.

Ya. Itulah peristiwa hijrah.

Dan di sebalik peristiwa bersejarah itu, punya hikmah yang cukup luas buat mereka yang memikirkan.



Hijrah ketika di zaman Rasulullah s.a.w.

Mengikut sejarah, keputusan hijrah diambil selepas termeterainya perjanjian Aqabah ke-2.

Selepas peristiwa (perjanjian Aqabah) itu, umat Islam sedikit demi sedikit telah berpindah ke Madinah, tempat kediaman baru mereka.

Pelbagai peristiwa telah berlaku dalam tempoh proses penghijrahan ini. Sudah semestinya, laluan penghijrahan ini tidak mudah. Kaum kafir Quraisy setelah berjaya mendapat tahu akan penghijrahan yang ingin dilakukan umat Islam, mereka tidak senang duduk. Pelbagai cara mereka usahakan demi menghalang umat Islam dari berhijrah.

Atas sebab itu, umat Islam terpaksa mengambil strategi berhijrah secara diam-diam. Hijrah yang mereka laksanakan bukanlah sekaligus. Sebaliknya, umat Islam Makkah bergerak dalam kumpulan-kumpulan yang amat kecil. Dan sebelum mereka berhijrah juga, mereka adakan pertemuan-pertemuan di tempat-tempat rahsia bagi mengelakkan tentangan dari kaum kafir Quraisy.

Selepas beberapa bulan, akhirnya, hijrah umat Islam itu sampai ke kemuncaknya apabila Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar r.a. itu sendiri berjaya menjejakkan kaki mereka ke tanah Madinah (atau dahulu dikenali Yathrib). Satu titik membangunnya sebuah negara Islam yang pertama, yang dipimpin oleh baginda Rasulullah s.a.w.


Hikmah hijrah

Jika kita perhatikan dari kisah hijrah itu sendiri, pelbagai hikmah yang dapat kita ambil buat kita hari ini. Di sini saya kongsikan hanya beberapa dari antaranya:


1. Hijrah itu bukan sekadar pemindahan ‘fizikal’ sahaja, malah jauh lebih dari itu

Sebagaimana yang kita ketahui, hijrah umat Islam Makkah ketika itu bukan sekadar hijrah fizikal mereka sahaja.

Tegarnya mereka untuk meninggalkan kampung halaman adalah atas kepatuhan mereka terhadap perintah Allah. Hijrah yang mereka laksanakan demi membantu lagi perkembangan umat Islam itu sendiri. Demi meluaskan dakwah. Demi membina kekuatan umat Islam. Semuanya kepada satu tahap yang lebih positif.

Maka, begitu juga dalam konteks kita pada hari ini. Konsep hijrah yang dibawakan itu bukanlah pada pemindahan rumah atau tempat tinggal. Namun, ia adalah satu ‘penghijrahan diri’. Peningkatan diri dari satu tahap, kepada satu tahap lain yang lebih baik. Perubahan dari dalam seseorang, atas dasar keinginan untuk mencari redha Allah. Mentaati perintahNya. Kembali menjalankan tugas sebagai hambaNya.

2. Hijrah itu suatu proses

Seperti yang saya nyatakan di perenggan-perenggan awal, peristiwa hijrah yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. itu hakikatnya adalah satu proses. Penghijrahan umat Islam bukanlah berlaku serentak dalam masa satu hari. Bahkan ia memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Maka di sini, kita harus nampak bahawa hijrah itu sebagai satu proses. Bukan sekadar peningkatan fasa.

Dan suatu tempoh masa diperlukan.

Kerana manusia itu bukannya robot yang boleh dengan segera diprogram ikut suka-suka. Sebaliknya, untuk menghasilkan satu peribadi yang utuh, ia haruslah dibentuk dengan penuh teliti dan saksama.

Justeru, suatu 'sistem tarbiyyah' amat-amatlah diperlukan bagi mereka yang berkehendakkan untuk berubah. Sebagaimana, Rasulullah s.a.w. mengendalikan usrah di rumah Al-Arqam bagi membentuk peribadi-peribadi para sahabat di tengah-tengah kejahiliyyahan masyarakat Makkah. Begitu juga dengan kita. Usrah-usrah atau halaqah-halaqah merupakan salah satu keperluan berkala bagi kita, dalam kita melakukan perbaikan dalam diri, apatah lagi dalam keadaan masyarakat yang semakin parah kini.

3. Untuk berhijrah, pasti akan ada halangan dan dugaan

Hijrahnya umat Islam ke Madinah bukanlah semudah berpindah rumah. Bahkan, untuk melakukan penghijrahan itu, mereka mendapat pelbagai halangan dan tentangan dari musuh-musuh Islam.

Umat ketika itu disekat perjalanan, ada yang ditangkap, bahkan junjungan besar Rasulullah s.a.w. itu sendiri mendapat ancaman bunuh dari mereka.

Namun, adakah atas-atas ujian yang menimpa, dengan mudah mereka berputus asa dan mengalah? Tidak sama sekali.

Begitu juga dengan kita. Dalam kita melakukan ‘hijrah’ pembaikan diri, akan pasti sahaja ‘musuh-musuh’ yang cuba menghalang hijrah kita. Bakal ada sahaja suara-suara sumbing yang merendah-rendahkan usaha-usaha yang kita ambil. Itu sudah menjadi lumrah. Bahkan lebih menyakitkan, dalam banyak kes, musuh-musuh kita ini bukanlah dari mereka yang sudah kita tahu kekafiran mereka secara jelas-jelas terhadap Allah. Namun, sebaliknya, mereka adalah ‘musuh-musuh di dalam selimut kita sendiri.’ Masyarakat yang mengelilingi kehidupan kita sehari-hari.

Justeru, kesabaran dan tekad itu perlu kita genggam erat, dalam usaha-usaha yang kita ambil untuk berhijrah. Sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

4. Hijrah menuntut pengorbanan

Untuk berhijrahnya Suhaib Al-Rumi, dia terpaksa meninggalkan harta peninggalannya yang cukup banyak, kepada orang-orang kafir Quraisy yang cuba menghalangnya untuk berhijrah.

Untuk berhijrahnya Abu Salamah, dia terpaksa meninggalkan isterinya atas tentangan hebat dari kedua ibu bapa isterinya.

Dan untuk berhijrahnya Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar r.a., mereka terpaksa mempertaruhkan nyawa-nyawa mereka, yang sudah sentiasa ditunggu-tunggu oleh kafir Quraisy Makkah, untuk sedia dibaham.

Dan begitulah jua umat muslimin Makkah yang lain. Demi melaksanakan hijrah, mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman, harta, keluarga, bahkan mempertaruhkan jiwa raga mereka. Agak-agaknya, atas apa mereka lakukan semua itu?

Yup. Tidak lain tidak bukan semuaya demi mematuhi perintah Allah s.w.t. dan ajakan pesuruhNya.

Oleh itu, kita dapat lihat bahawa betapa ‘pengorbanan’ itu amat sinonim dengan ‘hijrah’. Jika kita mahu mengubah diri kita ke tahap yang lebih baik, ke arah yang lebih Dia redhai, merubah diri dari ingkar, kepada taat perintah Allah, maka mahu atau tidak, pengorbanan itu suatu perkara yang MESTI kita lakukan.

Hambatan-hambatan yang ada dalam proses kita untuk berubah tadi, pasti menuntut kita untuk berkorban perkara-perkara yang kita cintai, demi mendapat cinta yang tertinggi.


Penutup: Berhijrahlah!

Shift your paradigm.

Berhijrahlah!

Jika dahulu kita seorang yang berperilaku buruk, maka, berhijrahlah!

Jika dahulu kita seorang yang masih belum menutup aurat dengan sempurna, maka berhijrahlah!

Jika dahulu kita merupakan seorang yang suka melewat-lewatkan solatnya, maka, berhijrahlah!

Walau apa pun kini status kita, pokok pangkalnya berhijrahlah! Kerana hijrah itu tidak akan pernah henti. Ruang-ruang pembaikan itu sentiasa ada.

Terus-terusanlah berusaha mempertingkatkan diri kepada suatu tahapan yang lebih baik. Lakukanlah semunya atas mencari redhaNya.

Berubahlah.

Sekarang.

Kerana sedarilah, dunia ini hanya sementara sifatnya. Mahu atau tidak, kita pasti akan dikembalikan kepadaNya.

Dan ketahuilah, sesungguhnya, hanya anda yang mampu menentukan hala tuju kehidupanmu itu.

Mengambil tindakan untuk berubah kepada yang lebih baik;

Atau tidak ambil pusing, membiarkan diri tetap di takuk yang lama.


Rujukan: Kitab Al-Raheeq Al-Makhtum, karangan Shaikh Sofiy Ar-Rahmn Al-Mubarakfuri.

4 comments:

etuza said...

Salam..
Syukran kita dihadiakan lagi dengan Hijrah yang baru moga hasrat menambahkan amal akan tertunai hendaknya ..amin..

Ibnu Jamaluddin said...

Salam Maal Hijrah...

Moga dengan kedatangan hari baru moga diri juga bertambah mutu... ^^

HonEyBuNNy said...

salam maal hijrah...

Anonymous said...

Terima kasih atas informasi yang besar! Saya tidak akan menemukan ini dinyatakan!