Thursday, December 2, 2010

Perkongsian: Dalam penulisan itu. . .

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Alhamdulillah.

Segala puji dan puja hanya bagiNya, atas ruang dan peluang yang Dia berikan, dapatlah saya kembali mencoretkan sesuatu di sini setelah hampir sebulan tidak menulis apa-apa entri.

Alhamdulillah, beberapa perubahan telah berjaya saya laksanakan ke atas blog ini. Antaranya kehadiran facebook badge dan juga formspring bagi blog ini, demi melancarkan lagi proses perkongsian dan 'give and take' yang ada. Semuanya atas dasar mencari keredhaan Allah, inshaAllah.

Baik. Sebelum saya memanjangkan lagi penulisan saya ini lagi entah ke mana, suka saya bawa satu perkongsian berkenaan bidang penulisan itu sendiri, atau secara spesifiknya di sini, penulisan melalui blog.

Penulisan yang bagaimanakah yang ingin kita ketengahkan?


Sebagai orang-orang yang beriman, apakah yang perlu kita perhatikan dari blog kita?

Sudah lepaskah kriteria-kriteria yang perlu ada dalam sebuah blog yang 'baik'?

Apakah batas-batasan yang perlu kita pantau dalam kita mengendalikan bidang penulisan ini?

Anggap sahaja post kali ini lebih kepada 'guidelines' untuk diri saya sendiri. Ianya saya kongsikan bersama, mudah-mudahan ada manfaat buat penulis-penulis yang lain juga.

Baik. Dalam kita menulis, apa perkara-perkara yang perlu kita perhatikan?


Ikhlaskan niat

Mahu atau tidak, perkara yang paling basic yang perlu kita perhatikan dalam penulisan kita ialah berbalik kepada niat. Atas tujuan apa kita menulis?

Mengapa ia penting?

Saya yakin, pasti semua tahu bahawa setiap amalan itu bermula dengan niat. Dan apa yang kita dapat dari amalan itu, sesuai dengan niat kita melakukannya.

Jika diniatkan kerana wanita contohnya, maka jadilah amalan kita itu akan tertuju kepada perkara yang kita niatkan tadi, iaitu wanita.

Begitu juga apabila diniatkan kerana dunia dan apa-apa perkara yang ada di dalamnya, maka kelak dunialah jua yang akan kita peroleh. Tidak ada sedikit pun bahagian untuk kita di akhirat kelak.

Sebagaimana dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.

Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya.

Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seseorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
[HR. Imam Bukhari dan Muslim]

Maka di sini seseorang yang beriman itu perlu nampak betapa besarnya keutamaan menjaga kebersihan niat dalam melakukan apa-apa perkara.

Amalan setinggi mana pun, sebesar apa pun, jika tidak diniatkan kerana Allah, sia-sialah semua. Ia sekali-kali tidak akan membuahkan apa-apa hasil buat kita di akhirat kelak. Ya. Lantas, jadilah kita di kalangan makhluk-makhlukNya yang merugi.

"Dan Kami akan perlihatkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami akan jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan."
[Surah Al-Furqan; 25: 23]

Ayuh, mari kita sama-sama mengikhlaskan niat, segala-galanya untuk mencari keredhaanNya; asal tujuan penciptaan kita di muka bumi ini.

Moga-moga tiap-tiap usaha kita, dipandang Allah dengan pandangan rahmat, sebagai amal yang dapat mendekatkan lagi diri kita kepadaNya. Aminn. InshaAllah.

Jika perkara ini berjaya kita fahami dan kemudian kita terapkan dalam penulisan kita, maka poin-poin yang ingin saya bawakan seterusnya pasti dengan mudahnya dapat kita hadam, kerana ia tidak lari jauh dari asal niat penulisan itu sendiri.


Bawa pembaca kepada Allah, bukan kepada diri sendiri

Dalam penulisan kita yang panjang berjela-jela itu, apakah fokus yang cuba kita letakkan?

Atau dalam tiap-tiap baris kata penulisan kita, ke mana sebenarnya kita ingin bawa pembaca kita?

Bawa penulis kepada diri sendirikah?

Atau berusaha membimbing mereka kepada Allah?

Jika penulisan kita tadi bercirikan pilihan yang kedua, yakni membawa pembaca kepada Allah. Maka beruntunglah! Kerana itu menunjukkan yang kita telah berusaha mengikuti sunnah para nabi.

Sebagaimana yang dijelaskan pada kita dalam surah Ali Imran, ayat ke-79,

" Tidak wajar bagi seseorang yang Allah telah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia, "Jadilah kamu penyembahku, bukan penyembah Allah," tetapi (dia berkata), "Jadilah kamu golongan rabbani (pengabdi-pengabdi Allah), kerana kamu mengajarkan kitab dan kerana kamu mempelajarinya!"
[Surah Ali Imran; 3: 79]

Oleh itu, bawalah pembaca melayar kepada bahtera cintaNya. Sekali-kali jangan, diniatkan membawa pembaca kepada diri kita sendiri.

Beri apa yang manusia 'perlu', bukan apa yang mereka 'mahu'

Jika kita menulis dengan niat untuk mencari publisiti contohnya, maka tulislah penulisan-penulisan yang bertema cinta (semata), lucah, mistik dan gossip artis, kerana penulisan-penulisan seperti itulah biasanya mendapat tempat di hati masyarakat kita kini. Itulah apa yang mereka 'MAHU'.

Sebaliknya, bagi mereka yang menulis atas dasar mencari keredhaanNya, maka tulislah perkara-perkara yang bermanfaat. Bahan-bahan yang mampu menghidupkan hati. Penyampaian-penyampaian yang mampu mebersihkan jiwa yang ternodai.

Kerana apa? Kerana hakikatnya, itulah apa yang mereka 'PERLU'.

Keperluan; kerana ia adalah makanan rohani kita.

Keperluan; kerana ia adalah peng'hidup' jiwa-jiwa kita. 

Keperluan; kerana ialah bakal memberi impak kepada kehidupan abadi kita, akhirat.

Ya. Ianya suatu keperluan. Yang sudah tentunya jauh lebih utama dari perkara-perkara yang mereka sekadar mahu.

" Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang beriman."
[Surah Adz-Dzariyaat; 51: 55]

Maka, jika kita sayang kepada pembaca-pembaca kita, berilah apa yang menjadi keperluan kepada mereka. ^_^

'Perlu' dikenal ramai, bukan 'mahu'

Saya tersentuh dengan kata-kata seorang penceramah, ketika dia membahaskan perkara ini. Di sini saya memetik sebahagian dari kata-katanya,

"Sebagai da'ie (penyeru), wajar sahaja kita popular. Ambil, Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai contoh. Bukan kita tidak tahu betapa dia merupakan seorang yang terkenal. Budak-budak di bangku sekolah lagi dah kenal Saidina Abu Bakar. Justeru, adakah populariti yang ada padanya itu salah? Sudah tentu tidak. Beliau merupakan sahabat Rasullah s.a.w., bahkan terpilih antara mereka yang telah dijanjikan syurga. Maka begitu juga dengan kita. Wajar sahaja mendapat populariti. Tetapi itu bukan itu niat kita. Kita perlu jelas. Untuk menyebarkan Islam, ada masanya kita PERLU kepada populariti, bukannya kita MAHU."

Justeru, populariti itu 'PERLU' bukan 'MAHU'.

Sebagaimana para artis mendapat tempat di hati masyarakat.

Sebagaimana media massa memberi kesan yang cukup besar dalam membentuk pemikiran kita.

Begitu juga kita perlu lakukan dalam usaha menyebarkan Islam. Ada kalanya, mencari populariti itu mendesak ke tahap keperluan. Agar kita dapat kembali mewarnai masyarakat dengan warna-warna Islam. Supaya kemudiannya pemikiran masyarakat kembali terbentuk atas kefahaman-kefahaman yang benar.

Namun sekali lagi diingatkan, mencari populariti itu, bukan kerana MAHU, tetapi atas dasar PERLU. Suatu pendekatan yang digunakan dalam membawa masyarakat kepada Allah. Bukan kepada diri sendiri.

Penutup: Jadilah da'ei yang menulis

Setelah kita sedar apa yang perlu kita bawakan dalam penulisan kita. Kepada apa hala tuju yang kita tekankan kepada pembaca kita. Tinggal sekarang, untuk kita mengaplikasikan sahaja ilmu-ilmu yang kita perolehi.

Sebagaimana para artis dan ahli pemikir, yang sebahagiannya dengan rancak berusaha menghanyutkan masyarakat ke dalam lembah hiburan yang melampau.

Sebagaimana para musuh-musuh Islam yang dengan tanpa henti, sanggup menginfakkan harta-harta mereka bagi melumpuhkan umat Islam.

Begitu juga dengan kita. Bahkan kita perlu lebih lagi.

Diharap, dengan kelebihan yang Allah berikan pada setiap di antara kita ini, kita salurkan, agar dimanfaatkan sebaik-baiknya kepada Islam.

Ayuh kita gencarkan penulisan kita dengan kata-kata yang membangkitkan jiwa.

Ayuh kita basahkan hati kita dengan cintaNya, agar penulisan kita juga akan basah, menyuburkan hati-hati yang tandus. Bukan sekadar peringatan yang kering, atas nilai 'ruhi' yang kurang.

Ayuh kita pertingkatkan lagi potensi yang kita ada, segala-galanya dengan tujuan demi menggapai redhaNya.

" Dan aku sekali-kali tidak minta imbalan kepadamu atas ajakan itu; imbalanku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam."
[Surah Asy-Syuara; 26: 109, 127, 145, 164, 180]

Dan memetik kata-kata Hilal Asyraf...

Jadilah Da’ie yang berblog.
 
Bukan sekadar blogger yang berdakwah.

3 comments:

~MQ~ said...

salam taaruf akhi..

Jazakallah atas artikel ini..
alhamdulillah, baik teknik penulisannya..
Moga kebaikannya buat semua..

MQ ~lautan rabbani~

Anonymous said...

Kedengarannya bagus, saya suka membaca blog Anda, hanya ditambahkan ke favorit saya;)

ashrafi said...

Perkara yang ana masih belum mampu lakukan.